PETALING JAYA: Penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) dilihat sebagai pemangkin meningkatkan ketepatan pelaporan membabitkan agensi penguatkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd. Yusoff berkata, CiJA mampu membuka ruang kerjasama lebih tersusun antara SPRM dan pengamal media tersebut.
Katanya, pihaknya melihat CiJA sebagai pemangkin meningkatkan ketepatan pelaporan dan memastikan sensitiviti operasi terpelihara kerana wartawan meja jenayah merupakan golongan yang paling banyak melaporkan berita berkaitan pencegahan rasuah.
“Melalui kerjasama di platform ini, penyampaian maklumat antirasuah dapat dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan profesional.
“Pada masa sama, CiJA boleh membantu agar mesej pencegahan rasuah, trend jenayah dan modus operandi semasa disampaikan kepada masyarakat secara lebih berkesan,” katanya ketika mengulas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama CiJA yang berlangsung semalam.
Tambah beliau, pihaknya juga terbuka untuk memberikan latihan kepada wartawan merangkumi etika, undang-undang dan pemahaman Akta SPRM 2009 bagi membantu memperkukuh profesionalisme wartawan meja jenayah.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan CiJA yang baharu dilantik iaitu Safeek Affendy Razali dari Berita Harian sebagai Presiden, manakala Hafidzul Hilmi dari Harian Metro dan Maszureen Hadzman dari Utusan Malaysia dilantik sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2.
Sementara itu, Nuraina Hanis dari Utusan Malaysia sebagai Setiausaha , manakala Farik Zolkepli dari The Star pula dinamakan sebagai Bendahari. – UTUSAN









