Peniga perlu tahu pengurusan kewangan untuk elak rugi

Peniaga perlu tahu pengurusan kewangan untuk elak rugi

ILMU, disiplin dan kebijaksanaan dalam pengurusan kewangan adalah kunci sebenar kejayaan perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENIAGA, sama ada kecil atau besar perlu memahami asas pengurusan kewangan sebelum mengembangkan perniagaan.

Ramai usahawan baharu bermula dengan semangat tinggi, namun gagal bertahan kerana tidak dapat membezakan antara modal, untung, hutang, kos operasi dan aliran tunai. Kefahaman terhadap komponen kewangan ini bukan sahaja membantu merancang pertumbuhan, malah mengelakkan keputusan terburu-buru yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Modal ialah wang permulaan untuk memulakan perniagaan, sama ada daripada simpanan sendiri, pelabur atau pinjaman. Ramai tersilap menganggap hasil jualan awal sebagai ‘duit boleh guna’, sedangkan sebahagian besar perlu dikembalikan untuk menampung modal.

Untung pula merujuk kepada lebihan wang setelah ditolak semua kos, termasuk kos tersembunyi seperti utiliti, gaji pekerja, penyelenggaraan dan susut nilai peralatan. Tanpa pengiraan tepat, keuntungan sebenar sukar ditentukan.

Hutang, jika diurus dengan betul, boleh menjadi alat untuk mengembangkan perniagaan. Masalah timbul apabila peniaga menganggap hutang sebagai ‘duit tambahan’ tanpa merancang bayaran balik, menyebabkan aliran tunai terganggu dan perniagaan tersekat.

Kos operasi pula merangkumi semua perbelanjaan harian, walaupun kecil, yang jika diabaikan boleh menjejaskan keuntungan. Aliran tunai menunjukkan pergerakan masuk dan keluar wang, tanpa kawalan, perniagaan boleh kekurangan wang tunai meskipun kelihatan untung di atas kertas.

Selain itu, peniaga perlu memisahkan akaun peribadi dan perniagaan, memahami perbezaan antara aset dan liabiliti serta mengurus stok dan harga dengan bijak. Stok berlebihan mengikat modal manakala stok terlalu sedikit mengecewakan pelanggan.

Harga yang tidak seimbang boleh menyebabkan kerugian atau kehilangan pelanggan. Keuntungan bukan sekadar wang tunai sebaliknya nilai perniagaan juga meningkat melalui pelanggan setia, jenama kukuh dan rangkaian pembekal yang stabil.

Rekod kewangan yang tepat membantu peniaga membuat keputusan, merancang strategi dan memohon pembiayaan atau geran. Kejujuran dalam mencatat kos, ketelitian membezakan modal dan untung, serta kewaspadaan terhadap hutang menjadikan peniaga lebih bijak mengurus risiko.

Akhirnya, kejayaan perniagaan bukan nasib semata-mata. Peniaga yang memahami setiap aspek kewangan modal, untung, hutang, kos serta aliran tunai mempunyai peluang lebih besar untuk berkembang, kekal bertahan dan membina legasi jangka panjang.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato Sulaiman
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×