Bung Moktar banyak berjasa kepada Sabah - Hajiji

Bung Moktar banyak berjasa kepada Sabah – Hajiji

RIBUAN jemaah hadir enunaikan solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pemergian Allahyarham Bung Moktar Radin merupakan kehilangan yang sangat menyedihkan beliau.

Menurutnya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu, bukan sekadar rakan seperjuangan politik, tetapi sahabat lama yang bersamanya melalui pelbagai fasa dalam politik Sabah.

Katanya, kehilangan Bung Moktar merupakan berita yang amat menyedihkan selepas beliau dimaklumkan mengenai keadaan kritikal sahabatnya itu sejak semalam.

“Perginya seorang sahabat lama, Allahyarham Bung Moktar tidak hanya dikenali sebagai pemimpin berkaliber, tetapi seorang rakan yang sentiasa dekat dan banyak berjasa kepada negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Bung Moktar di sini, hari ini.

Allahyarham Bung Moktar dilaporkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Menurut Hajiji, Allahyarham merupakan pemimpin yang komited, lantang memperjuangkan isu rakyat dan tidak pernah meninggalkan tanggungjawabnya terhadap kawasan yang diwakilinya.

“Saya amat bersimpati dan berdukacita. Bung Moktar banyak menyumbangkan tenaga dan khidmat bakti kepada rakyat, khususnya di Kinabatangan dan Lamag. Beliau akan sentiasa dikenang,” katanya.

Dalam pada itu, ribuan umat Islam menunaikan solat jenazah Allahyarham selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif dan beberapa lagi pemimpin negeri serta keluarga Allahyarham.

Jenazah disembahyangkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×