Malaysia, Singapura capai kemajuan isu FIR

Malaysia, Singapura capai kemajuan isu FIR

ANWAR Ibrahim bersama Lawrence Wong pada mesyuarat empat mata di Singapura, pada 4 Disember 2025. – FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan dalam perbincangan ber­terusan mengenai Kawasan Mak­lumat Penerbangan (FIR) bahawa sebarang langkah pada masa depan perlu memastikan pergerakan penerbangan antara kedua-dua negara lancar dan tanpa sebarang halangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghargai keperluan Singapura untuk memastikan aliran penerbangan yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar, manakala Malaysia pula memerlukan pergerakan udara yang lancar ke Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami aliran udara yang cekap dan selamat ke Changi dan Seletar perlu mempunyai jaminan sama seperti Malaysia memerlukan aliran bebas ke timur, termasuk ke Sabah dan Sarawak.

“Sebarang aturan yang dibuat mestilah tidak menjejaskan pergerakan trafik udara. Jika prinsip ini diterima, saya yakin kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singa­pura, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura ke-12.

Menurut Perdana Mente­ri, perbincangan berterusan di peringkat pemimpin telah mem­buahkan kemajuan dalam me­nangani isu FIR yang sudah lama tertangguh.

“Usaha ini penting bagi memastikan kedua-dua negara mencapai penyelesaian bagi beberapa isu yang masih belum selesai,” katanya.

Mengulas isu sempadan laut, Anwar berkata, Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama secara konstruktif untuk mencari penyelesaian yang baik.

Katanya, pendirian ini telah dijelaskan kepada Perdana Menteri Singapura serta anggota Kabinet dan pegawai yang terlibat, dengan menekankan bahawa kedua-dua negara jiran seiring dalam isu serantau dan perdagangan.

“Memang isu ini kompleks tetapi dengan komitmen yang jelas untuk menyelesaikan perkara ini, saya percaya kemajuan boleh dicapai. Kita perlu berusaha ke arah penyelesaian terbaik.

“Walaupun tidak dapat di­selesaikan sepenuhnya, se­ku­rang-kurangnya ada kemajuan sedikit. Kerumitan isu ini tidak seharusnya menghalang langkah positif bagi kedua-dua pi­hak,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia ko­mited untuk terus memper­kukuh hubungan unik dengan Singapura menerusi pelbagai bidang termasuk diplomatik, ekonomi, perdagangan, budaya dan pendidikan.

Sementara itu, Singapura menyambut baik keputusan Ma­laysia meluluskan cadangan untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, pi­hak­nya gembira Malaysia bersetuju secara rasmi dengan ca­dangan Singapura membuka kon­sulat di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×