KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kelantan mengumumkan lesen mendulang emas kepada rakyat negeri ini mampu merancakkan ekonomi setempat di kawasan yang mempunyai sumber mineral itu.
Seorang penduduk, Ahmad Fauzan Mohd. Zain, 47, berkata, kini ramai orang luar yang mula datang ke kawasan memiliki logam tersebut seperti Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Katanya, dengan kemasukan orang luar, ia dapat menjana lebih banyak pendapatan sampingan kepada penduduk setempat melalui aktiviti urus niaga.
“Di Jeli saya mempunyai tapak perkhemahan dan apabila kerajaan negeri umum akan keluarkan lesen mendulang, ramai menghubungi bertanyakan pakej untuk mendulang.
“Bukan semua orang pandai mendulang, ia bukan mudah. Jadi mereka perlukan jurupandu arah dan ini membuka peluang kerja sampingan kepada penduduk tempatan. Orang luar bukan tahu kawasan yang ada mineral itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohamad berkata, aktiviti mendulang emas secara tradisional wajar dijadikan sebagai produk pelancongan baharu di negeri ini.
Katanya, ia mempunyai potensi besar yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk setempat termasuk pemain industri pelancongan.
“Setahu saya belum ada lagi mana-mana negeri menjadikan aktiviti ini sebagai produk pelancongan. Jadi kerajaan negeri perlu merebut peluang dengan menyediakan garis panduan lengkap memastikan kelebihan yang dimiliki itu tidak sia-sia.
“Kita mahu pelancong merasai sendiri bagaimana tradisi mendulang emas yang dilakukan oleh orang-orang tua dulu,” ujarnya.-UTUSAN.










