PEKAN: Sudah hampir tiga tahun Azhar Samsudin, 59, koma selepas kemalangan jalan raya yang sehingga kini telah menyebabkan kehidupan keluarganya terhimpit.
Tinggal di rumah sewa di Kampung Parit Tengah, di sini kehidupan keluarga itu yang diuruskan isterinya, Asnisah Mat Din, 55, hanya bergantung kepada ihsan jiran, orang ramai serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Asnisah berkata, jumlah itu jauh daripada mencukupi, sedangkan perbelanjaan harian semakin meningkat.
“Makan sering bercatu, bayaran sewa rumah kadangkala tertunggak namun bag saya cukuplah asalkan suami tidak putus bekalan susu khas yang perlu disalur melalui tiub di hidung.
“Saya masih ingat sebelum kemalangan itu dia ada telefon, beritahu hendak balik cepat sebab letih bekerja. Katanya hendak tidur panjang.
“Rupanya itulah suara terakhir yang saya dengar. Dia ‘tidur panjang’ sampai sekarang ” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Azhar terlibat kemalangan ketika pulang dari tempat kerja pada 30 Oktober dua tahun lalu dan hentakan kuat menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang selain mengalami pendarahan serius dalam otak.
Asnisah berkata, sejak kemalangan itu pendapatan keluarganya terputus serta-merta dan dia dia terpaksa bekerja sambilan sebagai pembantu katering
“Kadangkala saya terpaksa tinggalkan suami di rumah dengan anak bongsu, Mohammad Syafik, 14. Dia pun kadangkala ponteng sekolah sebab hendak tengok ayahnya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Asnisah di talian telefon 011-6517 5194 atau menyumbang ke akaun Maybank 556235358396 (Asnisah Mat Din).-UTUSAN.










