LIMA tahun lalu, rakyat di Lembah Klang pernah berdepan detik cemas apabila bekalan air terputus selama empat hari akibat insiden pencemaran Sungai Gong. Sungai ini menjadi sumber air mentah kepada lebih 1.2 juta pengguna dan gangguan yang berlaku bukan sekadar menjejaskan urusan harian tetapi turut menimbulkan tekanan fizikal dan mental kepada masyarakat, khususnya yang tinggal di flat dan pangsapuri.
Namun baru-baru ini, tertuduh dalam kes pencemaran tersebut dilaporkan dibebaskan oleh mahkamah. Berita itu menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana sistem perundangan alam sekitar negara benar-benar mampu melindungi rakyat dan alam sekitar daripada kerakusan segelintir pihak yang mementingkan keuntungan.
Menurut laporan, antara sebab utama kegagalan kes ini ialah pihak pendakwaan tidak memanggil saksi pakar penting daripada Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memberikan keterangan. Sebaliknya, bukti dikemukakan hanya melalui pegawai penyiasat yang tidak mempunyai kepakaran saintifik dalam menilai data atau laporan makmal. Kesilapan teknikal seperti ini memberi ruang kepada peguam pembela untuk mempersoalkan kesahihan bukti, sekali gus menyebabkan tertuduh terlepas daripada hukuman.
Kelemahan ini memperlihatkan jurang besar dalam pelaksanaan undang-undang alam sekitar di Malaysia. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebenarnya cukup komprehensif untuk menghukum pelaku pencemaran, namun keberkesanannya amat bergantung kepada kebolehan pegawai penyiasat, kerapian prosedur siasatan dan koordinasi antara agensi. Dalam konteks keadilan alam sekitar, setiap kelalaian teknikal boleh mengubah arah keputusan daripada melindungi rakyat kepada membebaskan pelaku.
Sudah tiba masanya sistem perundangan alam sekitar diperkukuh secara menyeluruh. Pendakwaan kes pencemaran tidak boleh dilihat sebagai rutin pentadbiran semata-mata tetapi sebagai perjuangan mempertahankan hak asasi rakyat untuk menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat. Antara langkah yang wajar dipertimbangkan ialah penubuhan unit pendakwaan khas alam sekitar serta latihan berterusan dalam bidang forensik pencemaran bagi pegawai JAS dan Jabatan Kimia.
Keadilan alam sekitar bukan hanya tentang menghukum pelaku tetapi memastikan sistem yang menegakkannya tidak lemah akibat kecuaian manusia sendiri. Jika undang-undang gagal dilaksanakan dengan teliti, keadilan akan terus menjadi korban, sama seperti sungai yang menjadi mangsa pencemaran.
Air yang bersih tidak akan wujud tanpa keadilan yang bersih. Dan keadilan yang bersih hanya lahir daripada sistem yang berani menegakkan kebenaran, bukan yang membiarkan kesalahan tenggelam dalam kelemahan prosedur.-UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










