ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah mengeluarkan dua guru disyaki terlibat dakwaan salah laku seksual dari institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan JPN Kedah, kedua-dua kes berasingan itu sedang berada dalam siasatan pihaknya.
“JPN Kedah mengambil serius dakwaan salah laku seksual melibatkan dua guru di negeri ini seperti yang tular di media sosial. Tindakan telah diambil dengan mengeluarkan mereka dari institusi pendidikan KPM hingga siasatan selesai.
“JPN Kedah tidak berkompromi dengan sebarang perlakuan yang melibatkan salah laku seksual dan akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan diberi perhatian,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, tular kisah dua guru didakwa terlibat dengan salah laku seksual dengan salah satu laporan polis kes berkenaan turut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook.
Dalam kes pertama, pengguna terbabit yang juga bekas pendidik, Mohd. Fadli Salleh mendakwa, seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini dipercayai melakukan perbuatan terbabit terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Tangkap layar perbualan antara guru dan pelajar terbabit turut dimuat naik selain memaklumkan laporan polis dan laporan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) turut dilakukan.
Dalam kes kedua, laporan polis yang dimuat naik menunjukkan aduan dibuat di Balai Polis Alor Setar pada 21 Oktober lalu oleh seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun.
Laporan turut menyebut bahawa guru terbabit menggunakan perkataan berunsur lucah dan perlakuan yang tidak sopan ketika mengajar subjek Sejarah.
Mohd. Fadli mendakwa, kedua-dua guru terbabit hanya diambil tindakan tukar sekolah oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) buat masa ini. – UTUSAN










