Saifuddin, Zambry, Mohd. Naim dilantik semula sebagai Senator

Saifuddin, Zambry, Mohd. Naim dilantik semula sebagai Senator

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga Menteri Kabinet mengangkat sumpah di Dewan Negara, semalam sebagai Senator untuk penggal kedua.

Mereka adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Upacara mengangkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di Bangunan Parlimen, semalam.

Awang Bemee dalam ucapannya berkata, upacara itu selaras dengan kehendak Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sumpah atau ikrar yang perlu diucapkan oleh wakil rakyat sebelum menjalankan tugas mereka.

“Ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat (YB) merupakan ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan ini adalah pelantikan semula berkuat kua­sa mulai hari ini (semalam) hing­ga 2 Disember 2028, selaras dengan peruntukan Perkara 45 (3) dan Perkara 45 (3A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Awang Bemee berkata, beliau mewakili Dewan Negara mengucapkan tahniah kepada Saifuddin Nasution, Zambry dan Mohd Na’im.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga YB Senator yang kembali semula ke Dewan Negara, selamat berkhidmat semula.

“Jika diteruskan dan diama­nahkan dalam pentadbiran maka jalankanlah tugas dengan berkaliber, memantapkan lagi peranan Senator dan dewan ini. Selamat berkhidmat dan bertugas,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga menteri tersebut akan menyambung tugas masing-masing seperti biasa, semalam.

Pelantikan semula dianggap penting bagi memastikan kesinambungan dasar dalam portfolio strategik yang melibatkan keselamatan dalam negeri, pendidikan tinggi dan hal ehwal agama, diteruskan tanpa gangguan.

Di peringkat kementerian ma­sing-masing, ketiga-tiga menteri tersebut dilaporkan terus menjalankan urusan harian seperti biasa termasuk menghadiri me­syuarat dan program rasmi kerajaan.

Tiada isyarat setakat ini akan berlaku sebarang perubahan terhadap kedudukan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×