Kanak-kanak hidap kanser tahap empat impikan kasut bola - Utusan Malaysia

Kanak-kanak hidap kanser tahap empat impikan kasut bola

MUHAMMAD Qhosiff Basyar Abdul Haziq (kanan) bersama Shanaz Fazira Saidin ketika menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Tubuhnya menyusut dan kudratnya juga melemah kerana kanser limfoma tahap empat. Muhammad Qhosiff Basyar Abdul Haziq, 11, menyimpan impian sederhana untuk memiliki sepasang kasut bola.

Muhammad Qhosiff Basyar berkata, dia tidak pernah memiliki kasut itu, walaupun sukan kegemarannya ialah bola sepak, malah sering bermain bersama rakan-rakan ketika masih sihat.

“Selama ini saya berkaki ayam sahaja kerana tidak memiliki kasut bola. Sekarang kalau boleh saya hendak sepasang kasut untuk beri saya semangat, kalau sembuh nanti nak pakai untuk bermain bola lagi,” katanya ketika ditemui di Desa Keda Malau di sini, semalam.

Muhammad Qhosiff Basyar disahkan menghidap penyakit itu pada Oktober lalu dan kini menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak, namun kesihatannya semakin merosot mengakibatkan pergerakannya kian terbatas.

Ibunya, Shanaz Fazira Saidin, 31, yang bekerja sebagai kedi golf memberitahu, sebelum ini anak kedua daripada lima adik beradik itu aktif bersukan di sekolah, namun keada­annya kini tidak berdaya.

“Bila dia sebut teringin ka­sut itu, hati saya jadi luluh. Saya ibu tunggal hanya bergaji RM1,700 dan perlu sara lima anak.

“Belanja rawatan dia kini saya tanggung setelah bekas suami kehilangan kerja kerana selalu cuti untuk jaga Qhosiff di hospital,” katanya.

Sumbangan boleh disa­lurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0219041000185743 milik Sha­naz Fazira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×