Tiga rakan didenda RM12,000 ganggu pemandu e-hailing

Tiga rakan didenda RM12,000 ganggu pemandu e-hailing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga rakan masing-masing didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengganggu seorang pemandu e-hailing yang membuat pinjaman wang tanpa lesen, November lalu.

Tertuduh, Cheah Li Ting, 19; Yeoh Zong Cheng, 21; dan Lam Chee Seng, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu sebagai pihak yang mewakili pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah telah mengganggu seorang pemandu e-hailing dengan cara mendatangkan ketakutan dan kecederaan terhadap mangsa.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah restoran di Jalan Cheras, Taman Pertama, dekat sini, pada pukul 12 tengah hari, 17 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(B) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif memohon mahkamah menjatuhkan denda setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam bela, Lam Kim Guan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh merayu agar hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan menyesal atas perbuatan mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM12,000 terhadap setiap tertuduh dan jika gagal membayar, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi seorang lelaki ketika berada di sebuah restoran sebelum bertanya sama ada mangsa pernah meminjam daripada Ah Long.

Ketiga-tiganya kemudian bertindak mengejar mangsa sebelum memukulnya di bahagian muka, kepala, badan dan tangan sebelum melarikan diri.

Selain itu, mangsa turut menerima beberapa mesej berbaur ugutan daripada beberapa nombor telefon berbeza dengan ancaman seperti “ingin bakar rumah dan kereta kamu” dan “jika nampak kamu di mana-mana, akan hentam kamu”.

Disebabkan bimbang akan keselamatan diri, mangsa membuat laporan di Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya yang membawa kepada penangkapan ketiga-tiga tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×