RM21j hasil cukai gula digunakan untuk perolehan ubat diabetes

RM21j hasil cukai gula digunakan untuk perolehan ubat diabetes

DZULKEFLY AHMAD - Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM21 juta sudah diterima Kementerian Kesihatan (KKM) daripada penyaluran kutipan duti eksais bagi minuman bergula (SSB) untuk tujuan perolehan ubat Sodium-Glucose Transport Protein 2 (SGLT2) inhibitors bagi rawatan diabetes, masalah jantung dan buah pinggang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia sudah diagihkan ke semua negeri pada September lalu dan memberikan manfaat kepada 49,128 pesakit.

Katanya, sejumlah RM54.9 juta berjaya dikutip kerajaan melalui duti eksais SSB dari Januari hingga Ogos tahun ini.

“Pada 2024 kerajaan berjaya mencatatkan jumlah kutipan hasil duti eksais bagi SSB berjumlah RM68.6 juta.

“Ubat tersebut berkesan dalam merawat pesakit diabetes mellitus dan mengurangkan komplikasi penyakit buah pinggang kronik (CKD) serta memberi perlindungan kardiovaskular dan renal yang signifikan.

“Ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung dan kematian akibat penyakit kardiovaskular, memelihara fungsi buah pinggang dengan melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik dan mengawal tekanan darah serta berat badan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkenaan jumlah kutipan duti eksais SSB pada tahun ini serta jumlah yang telah disalurkan khususnya bagi pembiayaan ubat SGLT2 inhibitor.

Dr. Dzulkefly berkata, KKM memperuntukkan RM40 juta untuk rawatan dialisis peritoneal (PD) pada tahun ini.
Jelasnya, peratus pesakit yang menjalani rawatan PD di fasiliti KKM tahun ini adalah 42 peratus iaitu meningkat daripada 36.6 peratus pada 2020.

“Pendekatan KKM buat masa ini adalah selaras dengan hala tuju terkini pengurusan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir, di mana rawatan dialisis peritoneal adalah kaedah rawatan dialisis utama berbanding hemodialisis di Malaysia.

“Faedah utama rawatan PD termasuk fleksibiliti untuk melakukannya di rumah yang membolehkan pesakit menjalani kehidupan seharian dengan lebih bebas dan tidak memerlukan kunjungan kerap ke pusat dialisis.

“PD juga lebih lembut kerana ia meniru fungsi ginjal sebenar serta tidak menggunakan jarum suntikan, menjadikannya lebih mudah bagi sesetengah pesakit,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×