TEMERLOH: Pengusaha ikan sangkar lebih berwaspada menghadapi musim tengkujuh selepas mengalami kerugian besar lebih RM50,000 apabila beberapa sangkar musnah dan hanyut dibawa arus deras dalam kejadian banjir lalu.
Difahamkan, terdapat kira-kira 1,800 pengusaha ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dari Lipis menghilir ke Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan berdepan cabaran hampir sama setiap kali Monsun Timur Laut melanda.
Pengusaha ikan sangkar di Kampung Pangsenam di sini, Ahmad Shukri Abdul Halim, 30, berkata, persiapan rapi dilakukan sebelum bermula musim tengkujuh lagi bagi memastikan sangkar diusahakan mampu bertahan daripada ancaman arus kuat.
“Pengalaman lalu menjadi pengajaran besar yang mendorong saya mengambil langkah tambahan bagi mengelak kerugian berulang.
“Sebelum monsun bermula, saya sudah tukar tali baharu, ganti komponen yang rosak dan kuatkan semula rangka sangkar. Kalau sangkar hanyut, bukan sahaja rugi ikan malah modal struktur pun lebur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seorang lagi pengusaha ikan sangkar, Mohd. Sofian Husain, 60, dari Kampung Lebak di sini pula berkata, dia mengambil keputusan mengosongkan hampir semua sangkar sejak awal November lalu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, ketika arus deras, sangkar yang dikurangkan muatan ikan dan diikat kukuh pada tiang dan pokok di tebing sungai lebih selamat berbanding dibiarkan penuh.
“Saya akan masukkan semula benih ikan Januari ini jika keadaan cuaca kembali stabil. Sekarang ini saya lebih banyak jual ikan yang sudah cukup saiz dan pada masa sama saya ganti tali pengikat yang rosak serta periksa rangka sangkar,” katanya.
Menurutnya, pengalaman banjir besar pada 2014 dan 2021 yang menyebabkan ramai pengusaha menanggung kerugian besar dijadikan pengajaran untuk lebih bersedia setiap kali Monsun Timur Laut tiba.
Mohd. Mustaffa Taharuddin, 31, dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh pula berkata, selain mengikat sangkar lebih hampir ke tebing, dia menangguhkan penambahan stok ikan baharu sejak awal November lalu.
“Sekarang fokus saya adalah selamatkan sangkar dan ikan sedia ada. Ikan yang sudah cukup saiz pasaran saya jual segera untuk kurangkan risiko kerugian kalau banjir besar berlaku. Modal benih baharu kita tahan dahulu,” katanya yang mengusahakan ternakan patin dan tilapia.
M. Sani Hassan, 51, dari Kampung Sungai Ling yang memiliki 60 sangkar patin, tilapia dan baung pula berkata, pengusaha kini lebih peka dengan amaran cuaca dan paras air sungai yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Setiap kali hujan lebat berterusan, kami akan periksa sangkar, kemaskan ikatan dan pastikan semua tali tidak reput.
“Musim hujan ini kami memang sentiasa bersedia kerana arus Sungai Pahang boleh berubah dengan cepat,” katanya.-UTUSAN.










