Tanah: Terengganu hilang hasil RM600j Felda tidak buat bayaran

Tanah: Terengganu hilang hasil RM600j Felda tidak buat bayaran

ANGGOTA penguat kuasa menjalankan operasi penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) untuk kawasan tanah ladang yang diusahakan secara komersial tanpa kebenaran Kerajaan Negeri Terengganu, pada 30 November lalu. – Facebook DR AZMAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri kehilangan hasil kira-kira RM600 juta termasuk cukai dan premium berikutan tindakan Felda tidak menjelaskan bayaran perkongsian keuntungan membabitkan penerokaan tanah negeri sejak 40 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­nerangan, Dakwah dan Pe­mer­kasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan tegas kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan pencerobohan terhadap Felda melibatkan ladang-ladang di Terengganu dengan keluasan dianggarkan lebih 15,000 hektar, bukan bersifat konfrontasi.

Kata beliau, sebaliknya ia berpunca daripada rekod perjanjian yang dipersetujui sejak sekian lama antara kerajaan negeri dengan Felda termasuk syarat pembayaran premium tanah, komitmen pentadbiran serta perkongsian keuntungan sebanyak 30 peratus daripada hasil ladang yang diusahakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil penelitian semula dokumen oleh kerajaan negeri terdapat komitmen kewangan yang tidak diselesaikan sepenuhnya oleh Felda mengakibatkan negeri kehilangan hasil yang sepatutnya dikembali kepada rakyat Terengganu.

“Berdasarkan rekod semakan, jumlah tuntutan kerajaan negeri kini dianggarkan mencecah sekitar RM600 juta termasuk premium, tunggakan dan perkongsian keuntungan yang berlarutan sejak bertahun-tahun.

“Hakikat Felda tidak memberikan sebarang maklum balas konkrit walaupun diberi ruang rundingan dan tempoh balas yang munasabah, menuntut kerajaan negeri mengambil langkah yang wajar dan sah bagi melindungi hak negeri,” katanya dalam satu kenyatan semalam.

Terdahulu, Kerajaan Nege­ri Terengganu memberi masa empat hari kepada Felda untuk mengalihkan aset dan mengosongkan premis di ladang-ladang FGV Holdings Bhd (FGV) seluas kira-kira 15,000 hektar, sebelum proses sitaan bermula.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, penguatkuasaan undang-undang terhadap ladang FGV bermula semalam dengan penyampaian Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Katanya, Notis Seksyen 425 memaklumkan berlaku kesalahan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran.

“Selepas tempoh remedi, proses sitaan bermula. Aset yang disita menjadi milik pihak berkuasa negeri.

“Selepas itu prosedur undang-undang dengan tindakan kompaun dan prosedur jenayah diteruskan. Perlu dimaklumi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN jika disabitkan ialah suatu kesalahan jenayah,” katanya.

Menurut Muhammad Khalil, Kerajaan Negeri sentiasa menghormati Felda dalam memba­ngunkan masyarakat peneroka namun ia tidak menghalang negeri daripada mempertahan tanah dan hasil yang merupakan amanah kepada rakyat.

Katanya. tanah itu bukan milik individu atau mana-mana pihak berkepentingan tetapi milik rakyat Terengganu yang berhak menikmati hasilnya dalam bentuk pembangunan, pendidikan, kebajikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.

“Justeru, tindakan menuntut penyelarasan semula hak negeri hanyalah sebahagian daripada amanah urus tadbir yang mesti ditunaikan oleh kerajaan negeri. Adalah menjadi kewajipan mana-mana kerajaan yang beramanah untuk memastikan setiap perjanjian dihormati dan setiap hak negeri dipertahan dengan bermaruah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini