‘Penat menghadap kesesakan lalu lintas’

‘Penat menghadap kesesakan lalu lintas’

PENGGUNA jalan raya dI Kota Warisan, Sepang berdepan kesesakan teruk setiap hari ekoran projek naik taraf jalan yang dilaksanakan di kawasan itu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penduduk sekitar Kota Warisan di sini merayu agar kerja-kerja naik taraf jalan di persimpangan utama kawasan itu dipercepatkan.

Perkara itu berikutan kesesakan trafik yang semakin teruk yang terpaksa dihadapi mereka sejak beberapa bulan lalu khususnya pada waktu puncak.

Mereka mendakwa keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan rutin harian malah menambah tekanan kerana tiada laluan alternatif yang benar-benar mampu mengurangkan aliran kenderaan di kawasan terbabit.

Pengguna tetap laluan berkenaan, Mohamad Yusri Hamden, 50, berkata, kesesakan bukan lagi sekadar gangguan sementara tetapi menjadi beban harian kepada ribuan penduduk.

“Saya tinggal di sini sejak 1998, jalan depan itu masih sama sampai sekarang walaupun pembangunan kawasan ini sangat pesat. Laluan alternatif pula semakin sesak dan pengguna terpaksa membuat pusingan jauh.

“Saya merayu agar kerja naik taraf dipercepatkan dan pihak berkaitan mencari laluan baharu bagi menampung pertambahan kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seorang penduduk di Saujana KLIA, Jannah Ismail, 34, berkata, persimpangan terbabit merupakan laluan utama ke beberapa lokasi penting termasuk lapangan terbang, Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai serta kawasan perbandaran berhampiran.

“Ketika waktu puncak memang teruk. Pengguna tidak ada banyak pilihan jalan. Bila laluan utama jadi sempit dan sesak begini, ramai yang terkesan. Saya benar-benar berharap projek ini dipercepatkan,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu turut berkongsi bahawa perjalanan pulang ke rumah yang biasanya mengambil masa 10 hingga 15 minit kini boleh mencecah lebih setengah jam malah kadangkala sehingga satu jam pada waktu puncak.

“Sudah hampir setahun ada kon penutupan jalan. Kami tertanya-tanya, bila sebenarnya projek ini akan disiapkan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nor Shazrin Ilyas, 37, yang menetap di Sunsuria City pula berkata beliau pernah terperangkap hampir satu jam hanya untuk keluar dari satu simpang sahaja.

“Meskipun kami faham projek ini penting untuk jangka panjang, keadaan semasa terlalu membebankan. Ia bukan sahaja membuang masa tetapi turut meningkatkan tekanan harian. Laluan ini akses utama ribuan penduduk, jadi projek ini wajar disiapkan mengikut jadual,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×