KOTA BHARU: Beberapa syarikat agensi pelancongan di negeri ini berdepan kerugian selepas pelanggan membatalkan kunjungan mereka ke Hat Yai, Thailand.
Keadaan itu susulan banjir terburuk dalam tempoh 100 tahun yang melanda kawasan wilayah itu bermula 22 November lalu.
Seorang pengendali pelancongan, Zulkifli Hashim berkata, pihaknya bagaimanapun berlapang dada dan menghormati keputusan dibuat pelanggan.
Katanya, susulan pembatalan itu pihaknya sudah memulangkan semula bayaran yang dibuat oleh pelanggan sebelum ini.
“Ia melibatkan trip perjalanan pada cuti Hari Krismas yang bermula pada 23 hingga 25 Disember ini.
“Kami percaya ada hikmah disebalik semua ini. Saya difahamkan proses pemulihan ini mengambil masa sekurang-kurang dua bulan kerana kesan banjir yang melanda kawasan pelancongan itu sangat teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulkifli tidak menolak kemungkinan lokasi pelancongan itu boleh kembali dilawati selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, pihaknya membuat keputusan untuk menangguhkan sementara lawatan ke Hat Yai.
Katanya, trip pelancongan itu kembali disambung selepas kawasan tersebut pulih sepenuhnya.
“Buat sementara waktu kami hentikan dahulu trip ini. Lagipun kawasan tersebut terjejas dengan teruk dan mengambil masa agak lama untuk pulih semula.
“Lebih 20 trip melancong ke Hat Yai terpaksa dibatalkan sepanjang musim cuti persekolahan dan tahun baharu ekoran banjir buruk itu,” ujarnya.-UTUSAN.










