KUALA LUMPUR: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) melancarkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh perjalanan pengurusan kekayaan golongan muda dan komuniti sejajar dengan peralihan strategik ke arah pengurusan kekayaan patuh syariah sempena ulang tahunnya yang ke-20.
Inisiatif berkenaan iaitu HLB @ Campus dan perluasan kerjasama waqaf sebahagian daripada visi strategik bank untuk membina ekosistem pengurusan kekayaan yang lebih lestari dan mudah diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank (HLISB), Dafinah Ahmed Hilmi berkata, HLB @ Campus merupakan program berfokuskan pelajar universiti yang menawarkan penyelesaian perbankan direka khusus bagi membantu golongan muda memulakan perjalanan pembinaan kekayaan lebih awal.
“Melalui program ini, kami turut melaksanakan siri literasi kewangan dan jelajah kampus dengan memanfaatkan platform HLB DuitSmart.
“Setakat ini, program rintis telah dijalankan di tiga universiti, iaitu Universiti College MAIWP International (UCMI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Dalam pada itu, kami turut memperkasakan inisiatif wakaf melalui kerjasama formal dengan UCMI yang akan menyalurkan sumbangan kepada penyediaan peralatan perubatan penting dan penjagaan pesakit bagi memenuhi keperluan kesihatan asas komuniti,” katanya semasa taklimat media sempena ulang tahun ke-20 HLISB di sini, semalam.
Dafinah berkata, selain inisiatif fizikal dan komuniti, bank itu kini memberi penekanan kepada teknologi pendigitalan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
“Kadang-kadang orang kata mereka bercakap dengan bot yang dikawal bank, tetapi sebenarnya AI meningkatkan produktiviti kami hampir 15 kali ganda. Automasi ini membolehkan kami memberi tumpuan kepada perkara yang lebih bermakna,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan AI bukan hanya terbatas kepada tugas dalaman, tetapi juga berperanan membantu pelanggan membuat keputusan kewangan lebih baik.
“Apa yang penting adalah bagaimana AI digunakan untuk menjadikan peranan bank lebih jelas, membantu kami mencapai pelanggan dengan lebih dekat dan menyokong keputusan kewangan mereka. Kami telah mula menggunakannya secara dalaman dan sedang membangunkan lebih banyak penyelesaian baharu,” ujarnya.
Sebagai bank berlandaskan syariah, jelasnya, penggunaan AI perlu mematuhi garis panduan tersebut dan memastikan setiap proses dipercepatkan tanpa mengabaikan pematuhan.
“Kami akan umumkan beberapa inisiatif baharu pada suku pertama 2026,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, HLISB kini menjadi enjin penting pertumbuhan kumpulan berkenaan menjelang ulang tahun ke-20 perbankan Islam itu.
“Menginjak tahun ke-20 menandakan peralihan dan kematangan yang jelas. Sejak awal lagi, matlamat kami bukan sekadar menubuhkan sebuah subsidiari tetapi membina institusi berasaskan integriti, komuniti dan kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN










