Pihak berkuasa India guna dron jejak serigala pembunuh - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa India guna dron jejak serigala pembunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUCKNOW: Renjer hutan di India menggunakan dron bagi menjejak serigala yang menyerang manusia, selepas sembilan orang kebanyakannya kanak-kanak maut dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Mangsa terbaharu ialah seorang bayi perempuan berusia 10 bulan yang dilarikan seekor serigala di daerah Bahraich, negeri Uttar Pradesh, pada Sabtu ketika dia tidur di sisi ibunya sebelum ditemukan mati di sebuah ladang tidak lama kemudian.

Sehari sebelumnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun turut dilarikan di depan mata ibunya di luar rumah mereka. Kanak-kanak itu, yang ditemui cedera parah di ladang tebu, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Pegawai hutan berkata, serangan-serangan itu mengikuti corak yang sama seperti beberapa insiden lain yang dilaporkan di beberapa kampung sejak September.

Kematian terbaharu itu meningkatkan jumlah korban serangan dipercayai dilakukan serigala di Bahraich kepada sekurang-kurangnya sembilan dalam tempoh tiga bulan, menurut polis, pegawai hutan dan laporan media.
Mangsa turut merangkumi sepasang warga emas.

Pegawai Hutan, Ram Singh Yadav, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa telah mengerahkan dron, perangkap kamera dan penembak di kawasan terjejas.

“Perubahan tingkah laku serigala kini jelas. Mereka semakin kerap aktif pada waktu siang, sesuatu yang luar biasa,” kata Yadav. Pegawai hutan lain turut menyatakan bahawa haiwan itu kelihatan lebih berani daripada kebiasaan.

Bahraich sebelum ini mencatatkan gelombang serangan serupa tahun lalu, apabila sekumpulan serigala membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan beberapa yang lain.

Dataran rumput di daerah Bahraich terletak kira-kira 50 kilometer di selatan sempadan Nepal, yang dikelilingi hutan tebal di kaki bukit Himalaya.

Pakar berkata serigala biasanya menyerang manusia atau ternakan hanya sebagai jalan terakhir ketika kelaparan, dan lazimnya memilih mangsa yang kurang berisiko seperti antelop kecil.

Majoriti kira-kira 3,000 serigala di India hidup di luar kawasan perlindungan, sering berdekatan penempatan manusia.

Haiwan itu dikenali sebagai serigala dataran dan disenaraikan sebagai spesies terancam, lebih kecil berbanding serigala Himalaya dan mudah dikelirukan dengan spesies lain seperti serigala kecil (jackal).

Penduduk kampung di Bahraich kini hidup dalam ketakutan terhadap serigala yang berkeliaran berhampiran rumah mereka.

“Anak-anak kami tidak selamat walaupun di dalam rumah. Kami hanya mahu serangan ini dihentikan,” kata seorang penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×