JERANTUT: Derita seorang tukang kebun, Mohamad Rozaimi Ismail, 36, bagaikan tidak berkesudahan apabila sudah dua bulan tidak mampu bekerja.
Ia selepas kaki kirinya mengalami kecederaan akibat ditusuk duri kelapa sawit di Felda Kota Gelanggi Empat, di sini.
Kecederaan kecil kemudian bertukar menjadi luka besar yang merebak, lebih menyulitkan dia menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 17 tahun.
“Ketika membersihkan rumput dan pelepah tiba-tiba tapak kaki kiri tertusuk duri pelepah dan berdarah. Tapak kaki membengkak dan bernanah sehinggalah saya mendapatkan rawatan dan pembedahan di hospital untuk mengeluarkan duri serta rawatan luka. Saya tinggal di wad selama sembilan hari,” katanya semalam.
Mohamad Rozaimi berkata, keadaan kecederaan menyebabkan tidak boleh bekerja.
“Sehingga ini tidak ada pendapatan langsung untuk membeli barang keperluan dapur, bayar sewa rumah dan bil.
“Malah saya dan isteri terpaksa berpindah ke rumah ibu. Lebih malang isteri saya juga kehilangan pekerjaan tempatnya bekerja ditutup beberapa bulan lalu,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Mohammad Rozaimi di nombor 0175698955 atau menyalurkan terus ke akaun Maybank 156208377796 (Mohammad Rozaimi).-UTUSAN.











