Bakal pengantin parah diserang buaya

Bakal pengantin parah diserang buaya

MUHAMMAD Zarith Hafizi yang cedera pada kaki kiri akibat diserang buaya dalam kini dirawat di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila diserang dan diheret buaya ketika menjala ikan di sungai Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, di sini pagi kelmarin.

Kejadian menyebabkan mang­sa, Muhammad Zarith Hafizi, 28, mengalami kecederaan parah pada paha kiri akibat digigit reptilia itu.

Menceritakan kejadian tersebut, dia berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika dia menjala ikan dengan seorang rakannya.

Menurutnya, selepas me­nebar jala dia duduk seketika di tebing sungai sebelum perlahan-lahan menarik jala ke atas tebing.

“Semasa sedang menarik jala, tiba-tiba seekor buaya terus menyambar kaki kiri saya. Saya menjerit meminta tolong pada kawan saya yang berada di situ.

“Gigitan buaya sangat kuat sehingga haiwan itu menarik saya ke tengah sungai. Saya cuba melawan tetapi buaya itu terus menarik saya sehingga separuh badan sudah masuk ke dalam sungai.

“Ketika itu kawan saya tiba dan segera menarik tangan saya dan akhirnya saya berjaya naik ke tebing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, dia menganggarkan saiz buaya itu dua kali lebih besar daripada badannya.

“Alhamdulillah nasib baik ada kawan menarik saya naik ke atas kalau tidak saya sudah jadi arwah. Bulan depan (Disember) saya akan melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Menurutnya, sungai tempat dia menjala itu memang diketahui terdapat buaya tetapi reptilia itu tidak pernah menyerang manusia.

“Nasihat saya pada kawan-kawan yang sering pergi memancing dan menjala ikan di kawasan itu supaya berhati-hati. Saya sudah nampak banyak buaya di sungai itu, lebih daripada seekor,” katanya.

Sementara itu, rakan yang menyelamatkannya, Mohamad Hafiz Roslan, 29, berkata, ketika cuba menyelamatkan Muhammad Zarith, dia dapat merasakan kekuatan repitila itu untuk cuba menarik mangsa ke tengah sungai.

“Saya tarik Zarith sekuat hati namun reptilia itu tetap cuba menarik Zarith ke tengah su­ngai. Kami cuba melawan, saya tarik tangan Zarith dan akhirnya reptilia itu melepaskan gigitannya.

“Saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan Zarith. Jika tidak, tidak dapat saya hendak bayangkan apa yang berlaku,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×