Darulaman Sanctuary perkukuh peranan masyarakat

Darulaman Sanctuary perkukuh peranan masyarakat dalam  pemuliharaan hutan 

PARA peserta program penanaman 400 pokok yang dijalankan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd., anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad  (BDB), terus memperkukuh peranan masyarakat dalam pemuliharaan hutan melalui Program  Komuniti dan Penanaman Pokok yang berlangsung pada Sabtu, 29 November 2025 bertempat  di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi 

Program komuniti yang dinamakan Mini Temasya di Darulaman Sanctuary itu menekankan  penglibatan aktif masyarakat sebagai teras utama dalam melindungi dan memulihkan  ekosistem hutan, sejajar dengan Program Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) yang dianugerahkan  oleh Malaysia Forest Fund (MFF). 

Sebagai entiti pertama di Malaysia yang menerima pensijilan FCC, Darulaman Sanctuary  bertanggungjawab melaksanakan konservasi secara inklusif dan menyeluruh. 

FCC menekankan bahawa kelestarian hutan bukan sahaja bergantung pada kaedah teknikal,  tetapi turut memerlukan penglibatan masyarakat dalam pendidikan, budaya dan kesedaran  biodiversiti. Ini selaras dengan komponen sosial dan pendidikan FCC yang memberi  penekanan hubungan antara komuniti dengan pemuliharaan hutan. 

Inisiatif ini menunjukkan komitmen Darulaman Sanctuary dalam memperkukuh peranan  masyarakat sebagai rakan strategik pemuliharaan hutan. Sokongan berterusan komuniti,  industri dan agensi kerajaan memastikan kesinambungan konservasi yang memberi manfaat  kepada alam sekitar dan generasi akan datang. 

Program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, seni dan pendidikan alam  sekitar. Antara pengisian utama termasuk pameran Keris Kedah Langkasuka, Keris Kedah,  Keris Pattani dan Keris Nusantara, serta pameran Busana Melayu Tradisional. Program ini turut menampilkan pameran Nature & Art Harmony, aktiviti Survival Kids Adventure, demonstrasi  teknik dan etika pemakaian sampin, pasar seni dan makanan komuniti, selain persembahan  muzik dan silat. 

Turut hadir pada program tersebut adalah wakil daripada FRIM Incorporated Sdn. Bhd.,  Tourim Malaysia (Langkawi) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). 

Untuk rekod, program ini meneruskan usaha yang dimulakan pada Jun 2025 di mana inisiatif  pemuliharaan hutan telah dimulakan dengan menanam 300 anak pokok di Darulaman  Sanctuary. 

Inisiatif tersebut mendapat sokongan daripada Bytedance dengan dana sebanyak  RM176,380 sebagai permulaan kepada pelan jangka panjang pemuliharaan hutan di  Darulaman Sanctuary. 

Program terbaru menambah 400 pokok lagi, menjadikan jumlah keseluruhan pokok yang  ditanam sejak Jun 2025 meningkat kepada 700 pokok daripada sasaran jangka panjang  sebanyak 2,000 pokok. 

Lebih 150 peserta daripada industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan  orang ramai turut serta dalam program ini, menandakan peningkatan kesedaran masyarakat  terhadap kepentingan pemeliharaan hutan. 

Penanaman pokok ini membantu memulihkan hutan di Darulaman Sanctuary, meningkatkan  kapasiti penyerapan karbon, serta memupuk rasa tanggungjawab dan pemilikan masyarakat  terhadap alam sekitar. 

Program ini menegaskan peranan penting masyarakat dalam pemuliharaan hutan, sekaligus  memperlihatkan usaha bersepadu antara komuniti, industri dan kerajaan dalam memulihara  alam sekitar demi generasi masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×