Sijil halal kukuhkan kepercayaan pelanggan Tumise

Sijil halal kukuhkan kepercayaan pelanggan Tumise

MUHAMMAD Syakir Abdullah menunjukkan produk sedia dimakan jenama Tumise.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sijil halal yang diperoleh Syarikat YBS Abrah Sdn. Bhd. menerusi produk sedia dimakan jenama Tumise bukan sahaja menjadi penanda aras kualiti, malah mengukuhkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama itu di pasaran.

Pengarah Urusannya, Muhammad Syakir Abdullah berkata, pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh tahun lalu turut meningkatkan keyakinan syarikat untuk menembusi pasaran lebih besar.

“Ketika memulakan perniagaan dengan menjual antara 500 hingga 1,000 peket sebulan, isu sijil halal tidak timbul kerana pelanggan sedia ada mengenali Tumise sebagai produk keluaran bumiputera. 

“Bagaimanapun, apabila jenama ini semakin berkembang timbul persoalan apabila orang tidak kenal siapa di sebalik Tumise, jadi mula ada keraguan adakah jenama ini sebenarnya halal dan benar-benar keluaran bumiputera,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, bagi memelihara kepercayaan pelanggan terhadap jenama Tumise, pihaknya mula menjadikan sijil halal sebagai keutamaan apabila mengambil langkah memohon sijil halal pada tahun 2023.

Katanya, walaupun melalui pelbagai cabaran sepanjang proses tersebut termasuk syarat dan spesifikasi yang perlu dipenuhi, pihak syarikat akhirnya berjaya memperoleh pensijilan halal pada tahun lalu.

“Sebelum ada sijil halal, kami pernah cuba masuk pasar raya dan kedai runcit tetapi ada yang menolak kerana produk kami tiada sijil halal, tidak seperti jenama besar lain.

“Alhamdulillah, selepas dapat pengiktirafan itu, orang lebih percaya kepada produk kami. Ia sangat memudahkan apabila berurusan dengan pengedar besar atau potensi pasaran luar negara,” katanya.

Tambah beliau, pensijilan halal yang diperoleh itu turut melonjakkan hasil jualan syarikat apabila pengeluaran produk meningkat berkali ganda.

“Dulu sebelum memperoleh sijil halal, jumlah pengeluaran hanya sekitar 1,000 hingga 2,000 peket sebulan.

“Namun selepas mendapat pensijilan halal, jualan produk daging dendeng sahaja sudah mencecah kira-kira 10,000 peket pada bulan lalu, itu belum termasuk sambal bilis garing yang kini menjadi produk kedua paling mendapat permintaan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kelebihan YBS Abrah iaitu mempunyai kemudahan kilang pengeluar peralatan asal (OEM) yang diiktiraf halal juga membolehkan syarikat itu menghasilkan produk-produk halal untuk jenama lain.

Katanya, setakat ini, pihaknya memiliki 77 produk yang telah memperoleh sijil halal Jakim, sekali gus membuktikan komitmennya dalam menjamin kualiti dan kebersihan produk makanan yang dihasilkan.

“Selain mengguna pakai segmen jualan terus kepada pelanggan, kami urut mengembangkan perniagaan melalui konsep B2B iaitu perniagaan-ke-perniagaan dan menghasilkan produk OEM halal atas permintaan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×