SPRM nafi tuduhan intimidasi terhadap Albert Tei

SPRM nafi tuduhan intimidasi terhadap Albert Tei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Notis yang dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan membabitkan ahli perniagaan, Albert Tei dilakukan di bawah peruntuntukkan undang-undang.

Perkara tersebut sekali gus menolak dakwaan yang dibuat oleh Lawyers for Liberty (LFL) berhubung notis yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

SPRM dalam kenyataan berkata, notis terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas daripada sudut undang-undang.

“Memandangkan peguam yang mewakili suspek mempunyai bahan bukti (exhibits) yang berkaitan dengan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki mengikut Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009. 

“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya hari ini.

Menurut SPRM, keistimewaan komunikasi peguam–anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun ia tidak mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat, melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang; atau menghalang siasatan jika peguam terbabit adalah saksi material.

Oleh itu, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas kerana notis terbabit adalah proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.

“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard.

“Selain itu, sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan adalah tertakluk kepada Seksyen 28(A)8 Kanun Tatacara Jenayah serta keperluan operasi bagi melindungi integriti siasatan. Ini adalah selaras dengan undang-undang dan tidak luar biasa dalam kes yang sensitif,” jelasnya.

Katanya, memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam.

“SPRM akan terus melaksanakan peranan dan tugasnya secara berkecuali, profesional, dan dalam ruang lingkup undang-undang sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, LFL mendakwa SPRM bertindak di luar undang-undang apabila memanggil peguam kepada pemberi maklumat, Albert Tei, untuk disoal siasat berhubung siasatan skandal melibatkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut pengarah LFL, Zaid Malek, peguam Mahajoth Singh menerima notis pada kira-kira pukul 9.50 malam semalam yang mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi keterangan dalam siasatan yang melibatkan kliennya sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×