Glide Group serah bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Perlis

Glide Group serah bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Perlis

MUHAZLI Mohamad (dua dari kiri) bersama Nak Rong Si Prom (tiga dari kiri) dan Rahimi Ismail (lima dari kanan) semasa penyerahan bantuan berupa bakul makanan untuk mangsa banjir di Dewan Banquet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK Perlis)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Glide Technology Sdn. Bhd. (Glide Group) menyerahkan bantuan berupa bakul makanan bagi keperluan mangsa banjir kepada Kerajaan Negeri Perlis pada 29 November lalu.

Program bantuan itu merupakan hasil kerjasama antara Glide Group, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah yang diadakan di Dewan Banquet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK Perlis).

Menurut kenyataan bersama, Presiden Glide Group, Datuk Muhazli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Glide Marine Sdn. Bhd., Hasnizan Hassan telah menyerahkan bantuan itu kepada Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim, Nak Rong Si Prom.

Penyerahan itu disaksikan oleh Pengarah APM Negeri Perlis, Mohd. Izaimi Md. Daud dan wakil Yayasan Amal, Tengku Budriah, Khalid Ahmad.

“Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Komander Maritim Nak Rong yang menyerahkan bantuan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.

“Bantuan bakul makanan ini disalurkan bagi menyokong keperluan asas mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

“Ini khususnya dalam memastikan mereka menerima bekalan yang mencukupi sepanjang tempoh bencana,” katanya.

Kerajaan Negeri Perlis menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

Inisiatif itu mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan serta memperkukuh kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi situasi banjir.

Pada sebelah petang, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan 2020.

Mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah puteri-puteri baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Datuk Rahimi Ismail, Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Saharuddin Sarwan, Datuk Muhazli Mohamad dan Hasnizan Hassan.

Dalam tinjauan berkenaan, baginda berdua berkenan menyantuni mangsa banjir, menzahirkan keprihatinan dengan menanyakan khabar serta meninjau keperluan harian mereka yang ditempatkan di PPS.

Baginda berdua turut berkenan menyampaikan agihan sumbangan yang disalurkan oleh Glide Group bagi membantu meringankan beban mangsa terjejas.

Ini termasuk memberi keperluan asas seperti barangan keperluan harian bagi wanita dan kanak-kanak serta peralatan kebersihan.

Tindakan ini diharapkan dapat membantu mangsa menghadapi tempoh pemindahan dengan lebih selesa dan teratur.

Lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan pihak Istana dan Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan, kebajikan serta keperluan mangsa banjir sentiasa menjadi keutamaan melalui koordinasi yang tersusun dan tindakan pantas semua agensi terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×