Menyusukan bayi tidak rosakkan gigi ibu

Menyusukan bayi tidak rosakkan gigi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai ibu menyangka apabila mereka menyusukan bayi, kalsium untuk menghasilkan susu akan diambil daripada gigi ibu. Justeru, ada yang percaya gigi ibu akan mudah rapuh dan rosak.

Hakikatnya, dakwaan ini tidak tepat kerana kalsium tidak diambil daripada gigi, sebaliknya diambil daripada tulang ibu. Gigi pula tidak berfungsi sebagai ‘stor kalsium’ untuk susu ibu, jadi kalsium yang ada pada gigi tidak akan larut bagi menghasilkan susu.

Jadi, secara langsung penyusuan badan tidak menyebabkan gigi ibu rosak. Namun begitu, ada beberapa kesan tidak langsung yang boleh mempengaruhi kesihatan mulut ibu semasa menyusu, contohnya perubahan hormon ketika mengandung yang menjadikan gusi lebih mudah bengkak dan berdarah.

Pakar Pergigian (Periodontik), Kementerian Kesihatan, Dr. Yuliana Ayob berkata, selain itu, mulut kering akibat dehidrasi boleh meningkatkan risiko kaviti serta faktor gaya hidup ibu yang keletihan dan kurang masa menjaga kebersihan mulut boleh menjejaskan kesihatan gigi.

“Penyusuan badan tidak merosakkan gigi secara langsung. Lebih penting adalah penjagaan kebersihan mulut yang konsisten untuk memastikan kesihatan gigi dan gusi ibu kekal baik sepanjang tempoh penyusuan. Kerosakan gigi atau disebut sebagai gigi berlubang, karies ataupun kaviti, berlaku melalui satu proses tertentu.

“Ia bermula apabila bakteria di dalam mulut menukar gula daripada makanan atau minuman menjadi asid. Asid ini akan menyerang permukaan gigi, menyebabkan mineral gigi hilang sedikit demi sedikit,” katanya.

Jika keadaan ini berulang tanpa pembersihan, lapisan gigi akan semakin lemah dan akhirnya terbentuklah lubang. Apabila lubang tidak dirawat, ia boleh sampai ke bahagian saraf akar, menyebabkan jangkitan dan akhirnya gigi menjadi sakit.

Katanya lagi, kehilangan gigi sememangnya boleh menjejaskan kesihatan wanita secara signifikan, bukan sahaja daripada segi penampilan tetapi melibatkan kesihatan mulut, tubuh badan, kesejahteraan emosi, serta kualiti hidup secara keseluruhan.

Daripada aspek fungsi, kehilangan gigi memberi kesan besar kepada proses pengunyahan. Sebagai contoh, gigi geraham berperanan penting untuk mengisar makanan sehingga mudah ditelan.

Apabila gigi ini hilang, keupayaan mengunyah berkurangan lalu menyebabkan seseorang memilih makanan yang lebih lembut dan mengelakkan makanan yang sukar dikunyah seperti daging atau sayur-sayuran berserat. Akibatnya, makanan yang ditelan tidak hancur sempurna, sekali gus menjejaskan sistem penghadaman dan penyerapan nutrien.

“Selain itu, kehilangan gigi boleh menyebabkan gigi bersebelahan bergerak atau condong ke arah ruang yang kosong. Perubahan ini mengganggu keseimbangan gigitan dan menjadikan pembersihan gigi lebih sukar. Akhirnya, risiko gigi berlubang dan penyakit gusi juga akan meningkat.

“Daripada sudut kesihatan keseluruhan, kesihatan mulut mempunyai kaitan rapat dengan tubuh badan. Jika kehilangan gigi berpunca daripada penyakit gusi teruk (periodontitis), bakteria daripada jangkitan tersebut boleh memasuki saluran darah dan meningkatkan risiko penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis,”katanya.

Bagi wanita hamil pula, katanya, terdapat kajian menunjukkan penyakit gusi yang serius berkait dengan komplikasi kehamilan, termasuk kelahiran pramatang serta bayi yang kurang berat badan.

Langkah pencegahan

Ibu hamil digalakkan untuk melakukan pemerik­saan pergigian seawal mungkin selepas disahkan hamil. Pemeriksaan ini penting kerana masalah gigi dan gusi boleh dikesan lebih awal dan rawatan asas seperti tampalan atau pembersihan gigi (scaling) selamat dilakukan terutamanya pada trimester kedua.

“Selain itu, kebersihan mulut perlu dijaga dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida dan berus gigi berbulu lembut. Penggunaan flos setiap hari juga membantu membersihkan plak di celah gigi yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.

“Bagi ibu yang mengalami morning sickness, adalah penting untuk berkumur dengan air bersih selepas muntah bagi menyingkirkan asid yang boleh merosakkan enamel. Namun, gigi tidak digalakkan diberus serta-merta selepas muntah, sebaliknya tunggu kira-kira 30 minit untuk mengelakkan hakisan enamel,” terangnya.

Jika mengidam makanan manis, sebaiknya diambil bersama waktu makan utama dan bukan sebagai snek berulang kali. Sebagai pilihan yang lebih sihat, ibu boleh mengambil buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang atau produk tenusu.

“Selain itu, sangat penting minum air kosong dengan mencukupi untuk memastikan mulut sentiasa bersih dan asid dalam mulut dapat dineutral­kan. Penjagaan kesihatan tulang pula berkait rapat dengan pemakanan.

“Sepanjang kehamilan dan penyusuan, tubuh memerlukan kira-kira 1000 mg kalsium setiap hari bagi menyokong keperluan ibu dan bayi.

Kekurangan kalsium tidak diambil terus daripada gigi, tetapi daripada simpanan tulang ibu, justeru ia boleh menjejaskan kekuatan tulang dalam jangka panjang,”katanya.

Dr. Yuliana menyarankan bakal ibu makan makanan kaya kalsium seperti susu, yogurt, keju, ikan bilis, sardin, tauhu, tempe dan sayuran berdaun hijau kerana ia adalah pilihan yang baik.

Selain itu, vitamin D juga amat penting kerana ia membantu penyerapan kalsium. Sumber terbaik vitamin D adalah cahaya matahari pagi, di samping makanan seperti ikan berlemak, kuning telur dan produk tenusu yang diperkaya dengan vitamin D.

Ibu yang menyusu perlu menjaga kebersihan gigi mereka dengan lebih teliti. Walaupun penghasilan susu badan tidak menyebabkan gigi menjadi rapuh atau kalsium `ditarik’ daripada gigi, tempoh menyusu sering dikaitkan dengan perubahan rutin harian, kurang tidur serta tekanan emosi yang boleh menjejaskan penjagaan diri termasuk kesihatan mulut.

Jika kebersihan gigi diabaikan, plak akan mudah terkumpul dan mening­katkan risiko gigi berlu­bang dan penyakit gusi. Tambahan pula, keperluan pemakanan yang tinggi ketika menyusu menjadikan ibu lebih kerap makan atau mengunyah snek dan ini boleh meningkatkan pendedahan gigi kepada asid yang merosakkan.

Rawatan

Rawatan yang sesuai bergantung kepada tahap kerosakan gigi dan keadaan kesihatan mulut ibu. Tidak semua kes memerlukan implan gigi kerana implan biasanya disarankan jika gigi sudah dicabut atau tidak boleh diselamatkan lagi.

“Implan gigi mempunyai kelebihan kerana ia menggantikan akar gigi yang hilang, kelihatan semula jadi, lebih stabil untuk mengunyah dan mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik.

“Namun, kos rawatan implan agak tinggi dan tidak semua orang mampu menanggungnya. Sebagai alternatif, rawatan lain seperti jambatan gigi (bridge) atau gigi palsu boleh dipertimbangkan kerana kosnya lebih rendah dan masih dapat membantu dari segi fungsi mengunyah serta estetika,”katanya.

Katanya lagi, penting bagi ibu menyusu atau mana-mana pesakit berbincang dengan doktor gigi mereka untuk memilih rawatan yang sesuai mengikut keperluan, keadaan mulut dan kemampuan kewangan masing-masing.

Wanita tidak perlu terlalu bimbang kehilangan gigi ketika menyusu jangan kerana penyusuan itu sendiri tidak menyebabkan kehilangan gigi. Kehilangan gigi biasanya berpunca daripada penyakit gusi yang tidak dirawat, gigi berlubang dibiarkan atau penjagaan kesihatan

mulut yang kurang baik.

Apa yang penting adalah menjaga kebersihan mulut dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida, menggunakan flos, serta mengawal pengambilan makanan dan minuman manis.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×