Meminta derma tanpa keperluan, ditegah Islam

Meminta tanpa keperluan, ditegah Islam

MUHAMMAD FAIZAL ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tangisan, rayuan simpati dan pengalaman hidup susah sering ‘dijual’ oleh segelintir pengguna media sosial bagi meraih perhatian dan derma dari penonton yang turut berduka ke atas nasib mereka.

Namun apa yang lebih membimbangkan, ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya sihat dan berkemampuan, tetapi memilih jalan mudah dengan menjadikan simpati penonton sebagai sumber pendapatan.

Berkongsi pandangan mengenai isu ini, Ketua Jabatan Harta yang juga pemegang tauliah mengajar bahagian pengurusan harta Islam, Muhammad Faizal Zainal Abideen berkata, perbuatan tersebut termasuk dalam kategori meminta-minta tanpa keperluan (su’al ghayr hajah), yang ditegah keras dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad SAW sendiri berkata bahawa meminta-minta sedangkan seseorang masih memiliki harta dan anggota badan yang cukup adalah seperti seolah-olah mengumpul bara api untuk diri sendiri.

“Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka bererti hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.

“Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam. (Riwayat Muslim).

“Hadis ini jelas menunjukkan larangan keras meminta tanpa keperluan, kerana ia bukan sahaja menjatuhkan maruah, tetapi membuka pintu dosa,” katanya.

Menurut beliau, Mazhab Syafie menghukumkan perbuatan meminta tanpa keperluan sebagai haram atau sekurang-kurangnya makruh tahrimi kerana menjatuhkan maruah (suqut al-muru’ah).

Menurutnya, Islam hanya membenarkan meminta dalam tiga keadaan sebagaimana hadis Riwayat Muslim dari Qabishah bin Makhariq yang menceritakan tentang beliau yang sering menanggung hutang dan meminta Rasulullah bantuan untuk membayarnya.

“Baginda bersabda: Hai Qabishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan.

“(Satu) orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang saling bersengketa atau seumpanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya lunas. Bila hutangnya telah lunas, maka tidak boleh lagi ia meminta-meminta.

“(Dua) orang yang terkena bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sampai dia memperoleh sumber kehidupan yang layak baginya. (Tiga) orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai dia memang miskin).

“Selain tiga keadaan itu, meminta-minta dianggap perbuatan yang ditegah. Ia membuka pintu penipuan, menghakis rasa malu dan menjadikan seseorang bergantung kepada belas orang lain,” katanya.

Muhammad Faizal Zainal Abideen
Jawatan/pekerjaan: Ketua Jabatan Harta
Usia: 43 tahun
Asal: Kajang, Selangor
Pendidikan:Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Kawalan, Instrumentasi dan Automasi
Pemegang Tauliah Mengajar Selangor dan Negeri
Sembilan, Bahagian pengurusan harta Islam( faraid, hibah, wasiat)

 

Mengulas mengenai trend live streaming yang memaparkan tangisan, drama simpati atau lakonan miskin, beliau berkata, ia termasuk perbuatan tadlis dan eksploitasi emosi.

“Jika gift yang diberikan kerana penonton terpedaya dengan emosi dan naratif palsu, ia tetap dikira mengambil harta orang lain dengan cara salah. Ini tidak halal.

“Bagaimanapun, menerima gift adalah harus jika kandungan live memberi manfaat seperti ilmu, hiburan yang baik atau seni, dan penonton memberi secara sukarela.
“Jika ada nilai yang disampaikan dan penonton memberi sebagai sokongan, hukumnya harus seperti penceramah atau penghibur yang menerima hadiah,” katanya.

Beliau berkata, salah satu objektif besar syariat adalah menjaga maruah diri dan perbuatan mengemis tanpa keperluan bercanggah dengan nilai tersebut.

“Nabi SAW bersabda bahawa mencari kayu api dan menjualnya lebih baik daripada meminta-minta. Ini menunjukkan Islam mengangkat usaha, bukan simpati.

“Dalam sirah, Abdullah bin Umm Maktum yang buta pun tetap bekerja dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Maka, bagaimana orang sihat sanggup menjatuhkan maruah demi gift?” katanya.

Menurut Muhammad Faizal, trend mengemis digital ini, membawa risiko sosial yang besar termasuk normalisasi meminta, manipulasi emosi, penggunaan kanak-kanak untuk kandungan media sosial dan hilangnya budaya kerja keras.

“Rezeki halal datang dengan usaha. Memperoleh duit dan hadiah kerana simpati atau tipu daya bukan saja menyalahi syarak, tetapi merosakkan maruah dan membuka pintu kefakiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×