PETALING JAYA: Kira-kira lapan anggota sindiket disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di sekitar ibu negara berjaya diberkas oleh Polis Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur melalui kerjasama di peringkat daerah dan kontinjen dari 10 hingga 14 November lalu.
Kesemua tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur melibatkan kediaman yang dijadikan pusat operasi haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi termasuk penipuan tawaran kerja dan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Katanya, sindiket itu dipercayai menyasarkan warga asing sebagai mangsa sama ada di dalam dan luar negara.
“Kesemua suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 1208(2) Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN









