Kempen PRN Sabah berlangsung tenang

Kempen PRN Sabah berlangsung tenang

PETUGAS SPR memeriksa barangan undi di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bagi kawasan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu di Dewan Seri Sulaman, Tuaran semalam. -UTUSAN/ AMIR KHALID PEMBERITA - TEAM PRN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP rakyat Sabah yang kekal tenang dan terkawal sepanjang dua minggu tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali lagi mencerminkan kematangan politik serta keharmonian masyarakat negeri itu dalam menghadapi proses demokrasi.

Sepanjang liputan pilihan raya di kebanyakan kawasan, kempen dijalankan secara sederhana tanpa provokasi melampau. Tumpuan diberikan kepada pertemuan masyarakat, dialog isu setempat dan penjelasan berhubung dasar.

Suasana itu menggambarkan keselesaan rakyat menerima penerangan secara berhemah dan bukan pendekatan konfrontasi.

Ceramah malam turut berlangsung dalam keadaan ter­ka­wal, dengan perbincangan ber­kisar kepada isu pembangunan, program rakyat dan cadangan dasar sekiranya mandat diteri­ma, sekali gus menjadikan wacana politik lebih berorientasikan idea.

Pendekatan kempen yang tidak agresif ini dipandang sebagai gambaran budaya politik matang di Sabah, apabila per­bezaan pandangan politik tidak menjejaskan hubungan dalam komuniti.

Pemerhati melihatnya sebagai perkemba­ngan positif dalam landskap demokrasi negara.

Pihak keselamatan memaklumkan keadaan stabil tanpa insiden besar sepanjang tempoh kempen, menunjukkan tahap kesedaran tinggi masyarakat untuk menjaga ketenteraman awam dan memastikan kelancaran proses pilihan raya.

Rakyat pula dilihat lebih selesa membincangkan isu seperti kos sara hidup, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kemudahan asas berban­ding retorik serangan peribadi. Walaupun terdapat provokasi kecil, ia tidak sehingga menjejaskan keharmonian kempen.

Pendekatan politik tenang di Sabah turut membantu pengundi menilai pilihan mereka secara rasional, apabila kempen yang memberi tumpuan kepada cadangan penyelesaian masalah mampu meningkatkan keseda­ran dan kefahaman rakyat terhadap dasar yang dibawa calon.

Sikap penyokong yang men­gekalkan ketertiban walaupun berbeza pilihan politik juga menjadi tumpuan apabila mereka masih boleh bersapa dan berjenaka ketika bertemu di lokasi kempen.

Keadaan itu mencerminkan keutamaan perbinca­ngan idea berbanding sentimen perpecahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×