DOHA: Lando Norris mengakui berasa tenang dan terkawal menjelang Grand Prix Formula Satu (F1) Qatar yang mana dia berpeluang memenangi kejuaraan dunia pertamanya.
Tanpa terganggu penyingkiran berganda bersama rakan sepasukan McLaren yang juga pencabar gelaran, Oscar Piastri di Las Vegas hujung minggu lalu, pemandu Britain berusia 26 tahun itu memberitahu dia berasa benar-benar selesa menjelang penentuan hujung minggu ini.

“Saya berasa setenang sekarang seperti ketika saya ketinggalan 35 mata, dan saya rasa sama juga ketika saya 24 mata di hadapan.
“Buat masa ini, itulah kekuatan saya. Rasanya sama seperti sebelum Mexico ketika saya belum mendahului dan di Austin,” katanya.
Norris, yang hanya perlu mengatasi pungutan mata Piastri dan juara bertahan empat kali Max Verstappen dari Red Bull sebanyak dua mata untuk memenangi gelaran hujung minggu ini, memandang ringan tekanan jangkaan dan kebangkitan pemandu Belanda itu.
“Kami menganggapnya sebagai ancaman sepanjang tahun walaupun ketika dia berada beberapa mata di belakang.
“Kami menganggapnya ancaman kerana kami tahu apa yang dia mampu lakukan, kami tahu apa yang Red Bull mampu lakukan jadi tiada apa yang berubah sekarang kerana dia masih ancaman yang sama seperti sepanjang tahun,” katanya mengenai Verstappen, yang ketinggalan 104 mata dalam perebutan gelaran pada akhir Ogos tetapi kini menyamai Piastri dengan 24 mata.
Norris mengakui penyingkirannya di Las Vegas perit tetapi dia dan pasukan telah menerimanya dan bergerak ke hadapan.
“Kami semua berasa kecewa dengan keputusan itu dan kami semua hampa, tetapi sebenarnya saya rasa agak mudah untuk meneruskan hidup dan berehat beberapa hari kemudian datang ke hujung minggu ini,” jelasnya.
Piastri pula kelihatan sama tenang, namun menjelaskan dengan tegas dia tidak berniat mengorbankan peluangnya sendiri demi membantu rakan sepasukan McLaren.
“Kami hanya berbincang secara ringkas dan jawapannya adalah tidak,” kata pemandu Australia itu. – AFP/UTUSAN










