Sarip Dol lagak samseng jalanan

Sarip Dol lagak samseng jalanan

SARIP Dol suka menjelir lidah apabila bergambar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wajah yang seakan samseng jalanan dengan lidah yang sering menjulur nakal menjadikan Sarip Dol bukanlah kucing biasa.

Setiap kali menatap wajahnya yang garang dan tubuh sasa, sesiapa sahaja pasti tersentak seketika, namun segera terpikat dengan karisma uniknya.

Kucing baka berbulu panjang ini bukan sahaja mencuri perhatian di rumah, malah kehadirannya kini turut menjadi tular di media sosial, terutama di platform TikTok dengan jumlah pengikut hampir 100,000.

Pemiliknya, Nasrul Nursal, 40, berkata, nama Sarip Dol diberikan kerana lagak dan ekspresinya yang kelihatan garang sepanjang masa.

“Walaupun lagaknya seakan samseng, Sarip Dol sebenarnya tidak pernah menyerang kucing lain tanpa sebab,” katanya sambil tersenyum.

Sebaliknya, Sarip Dol menjadikan setiap kucing yang dikenalinya sebagai teman sepermainan.

Ke mana sahaja ia pergi, pasti ada kucing lain yang setia mengekori, seolah-olah menjadikan Sarip Dol sebagai pelindung.

“Disebabkan sifatnya yang begitu penyayang, Sarip Dol sering dianggap seperti ‘abang long kawasan’.

“Ia sentiasa memastikan kucing-kucing lain tidak diganggu atau dibuli oleh kucing dari luar kawasan perumahan,” tambah Nasrul.

Namun, kucing gebu ini asalnya bukanlah dibeli dari kedai haiwan peliharaan.

Pada mulanya, ia hanyalah seekor kucing jalanan yang kurus dan comot. Berbekalkan rasa belas kasihan, Nasrul mengambil keputusan untuk menyelamatkannya.

Kini, Sarip Dol hidup dengan sihat dan penuh aura keberanian yang membuatkan setiap pergerakannya menawan hati.

Setiap helah, setiap lenggok berjalan dan setiap kali lidahnya menjulur dengan gaya santai, ia seolah-olah menceritakan kisah seekor kucing jalanan yang kini menjadi wira kawasan dan pencuri hati ramai pengikut media sosial.

FASHIONISTA BERKAKI EMPAT

Tambah Nasrul, Sarip Dol gemar bergaya setiap kali keluar rumah.

Namun, kucing comel ini mempunyai selera sendiri.

Ia tidak gemar baju yang terlalu ketat, mungkin kerana tidak selesa di tubuhnya yang gempal.

Pilihan fesyen kegemaran Sarip Dol termasuk Baju Melayu dan baju batik dengan corak menarik yang menambahkan lagi personaliti ‘samseng’nya.

Tidak cukup dengan pakaian, aksesori juga menjadi identiti tersendiri bagi si bulus ini.

Rantai lengkap dengan loceng pelbagai corak seperti Pokemon, katak dan watak kartun lain menjadi kegemarannya.

Nasrul sendiri mengumpulkan lebih 20 loceng bagi kegunaan harian Sarip Dol.

Katanya, loceng tersebut bukan sekadar hiasan semata-mata tetapi bagi membolehkan Sarip Dol mudah ditemui apabila bermain jauh dari rumah.

Walaupun kelihatan besar, loceng itu sebenarnya ringan dan tidak mengganggu pergerakannya.

Musim hujan juga bukan halangan untuk Sarip Dol keluar bermain.

Malah, sifatnya yang gemar air membuatkan hujan tidak pernah menakutkannya.

Kadang-kadang, bagi memuaskan keinginannya, Nasrul akan membawa Sarip Dol menaiki kereta untuk melihat titisan hujan yang turun, seolah-olah menikmati pemandangan dengan gaya samseng tetapi penuh ingin tahu.

Di pusat dandanan haiwan pula, Sarip Dol kekal tenang dan mudah diuruskan.

PENUH BERTENAGA

Nasrul memastikan diet Sarip Dol sentiasa seimbang dan kaya dengan nutrisi serta protein yang mencukupi.

Sukatan yang diberi disesuaikan mengikut saiz badannya.

Kucing comel ini diberi makan dua kali sehari.

Hasilnya, Sarip Dol kekal bertenaga, sihat dan sentiasa ceria.

Setiap kali melompat-lompat atau bermain di rumah, tenaga yang dimilikinya seolah-olah tidak pernah habis.

Gelagat aktif dan keceriaannya menyalurkan aura positif ke seluruh rumah, menjadikan hari-hari mereka penuh tawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×