PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan pemimpin yang lebih segar untuk membawa badan induk itu keluar daripada impak besar kemelut pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, badan induk itu tidak memerlukan individu ‘kitar semula’ untuk menjawat jawatan Presiden FAM kerana pembaharuan drastik perlu dilakukan untuk memulihkan bola sepak negara.
Ketika ini kata Pekan, sudah tiba masa semua pihak bergerak ke hadapan tanpa perlu mengulangi episod lama atau ‘menyambut’ semula mana-mana nama yang pernah mencetuskan tekanan besar terhadap FAM.
“Ingat bagaimana desakan kebanyakan netizen bola sepak sebelum ini terhadap bekas Presiden (Tan Sri Hamidin Mohd Amin) hingga memaksa dia menarik diri dari pencalonan sebagai Presiden FAM untuk penggal baru 2025-2028 sewaktu kongres FAM Januari lalu.
“Tindakan beliau itu mengendurkan desakan netizen bola sepak negara pada waktu itu dan membuka ruang kepada Datuk Mohd. Joehari Ayob untuk menang tanpa bertanding. Jadi saya rasa cukup setakat itu sahaja, sekarang FAM perlu nafas baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pekan menegaskan bahawa FAM merupakan institusi yang kekal, manakala pemimpin datang dan pergi, malah mana-mana individu yang mengambil alih tetap akan meneruskan misi memperbaiki bola sepak negara.
“Yang kekal itu FAM, sama seperti sebuah negara. Pemimpin silih berganti, tetapi perjuangan diteruskan. Selagi pintu tidak tertutup rapat, pasti ada cahaya yang menyinar,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini ialah memulihkan keyakinan penyokong dan memperkukuh semula struktur organisasi FAM, bukannya membawa kembali figura lama yang pernah menjadi punca ketegangan dengan penyokong.
Katanya, apa yang diperlukan kini adalah kepimpinan baharu yang bebas daripada kontroversi, lebih telus dan mampu memulihkan reputasi FAM di peringkat antarabangsa selepas berdepan krisis besar.
“Bola sepak Malaysia perlukan nafas baharu, bukan pusingan ulangan,” tegas Pekan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan krisis keyakinan yang sedang melanda FAM susulan kemelut pentadbiran ketika ini menuntut kehadiran seorang presiden baharu yang benar-benar memiliki keupayaan luar biasa bagi memulihkan kembali maruah bola sepak negara.
Presiden baharu bukan sahaja perlu menyusun semula hala tuju badan induk itu, malah mesti membuktikan FAM berada di landasan betul mengikut segala ketetapan undang-undang.
Sekali gus meyakinkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa Malaysia bersedia menutup episod hitam yang berlaku. – UTUSAN










