PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus mencatat penyederhanaan apabila menurun 0.1 peratus pada Oktober 2025, selepas merekodkan penurunan 0.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tersebut didorong oleh penurunan berterusan dalam beberapa sektor utama, khususnya pembuatan dan perlombongan.
Katanya, sektor pembuatan menguncup 0.6 peratus pada Oktober, dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (5.1 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (1.6 peratus).
“Sektor perlombongan juga menyusut 1.0 peratus, disebabkan penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (2.2 peratus). Bagaimanapun, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.7 peratus, dipacu penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan (3.0 peratus).
“Sektor utiliti pula menunjukkan peningkatan kukuh dengan indeks bekalan elektrik dan gas naik 4.3 peratus, manakala bekalan air melonjak 10.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, katanya, pada asas bulanan, IHPR keseluruhan tidak berubah berbanding September.
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatat kenaikan 0.9 peratus dan sektor pembuatan meningkat 0.3 peratus, disokong pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (0.7 peratus) serta pembuatan produk makanan (0.5 peratus).
“Namun, sektor perlombongan merosot 4.8 peratus, dipengaruhi kejatuhan pengekstrakan gas asli (6.3 peratus) dan petroleum mentah (4.1 peratus),” katanya.
Dalam masa sama, indeks mengikut peringkat pemprosesan turut menunjukkan pola bercampur, dengan bahan perantaraan, bekalan dan komponen menguncup 0.2 peratus susulan penurunan bahan api yang diproses dan pelincir (3.7 peratus).
Indeks barang siap turun 1.0 peratus, didorong susut nilai kelengkapan modal (1.8 peratus).
Namun, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 1.2 peratus, dipacu bahan bukan makanan (0.6 peratus).
Mohd Uzir berkata, pada asas bulan ke bulan, indeks bahan perantaraan meningkat 0.2 peratus, manakala bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya serta barang siap masing-masing menurun 0.4 peratus dan 0.2 peratus.
“Dalam perbandingan antarabangsa, Jepun mencatat IHPR meningkat 2.7 peratus, manakala China kekal dalam deflasi pengeluar dengan penurunan 2.1 peratus pada Oktober, bulan ke-37 berturut-turut sekali gus mencerminkan tekanan berterusan dalam sektor perindustriannya.
“Thailand pula merekodkan inflasi pengeluar negatif 1.4 peratus, selari dengan trend penyederhanaan harga di rantau ini,” katanya.
Mengulas pergerakan komoditi, beliau berkata, harga minyak mentah Brent purata pada Oktober turun kepada AS$64.54 (RM266.66) setong berbanding AS$67.99 (RM280.91) pada September, dipengaruhi lebihan bekalan global dan permintaan yang sederhana.
“Sebaliknya, harga minyak sawit mentah (MSM) purata Malaysia meningkat kepada RM4,412.50 satu tan, berbanding RM4,371.50 pada September, disokong kekurangan bekalan minyak sayuran pesaing serta eksport Malaysia yang stabil,” tambahnya. – UTUSAN










