Petronas luas pelaburan LNG luar negara, jamin bekalan

Petronas luas pelaburan LNG luar negara, jamin bekalan

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Petronas memperluaskan pelaburan gas asli cecair (LNG) di luar negara dilihat sebagai strategi penting bagi memastikan bekalan tenaga Malaysia, terutamanya ketika ketidaktentuan mengenai hak kawal selia gas di Sarawak terus memuncak, menurut BMI, unit penyelidikan di bawah Fitch Solutions.

Menurut laporan penyelidikan itu, walaupun aset domestik kekal sebagai teras operasi Petronas, peranan syarikat negara itu sebagai pengawal selia dan pengagregat gas di Sarawak dijangka berkurangan, meskipun terdapat persetujuan mengenai hak negeri terhadap rizab minyak dan gas.

“Sarawak kini menyumbang 40 peratus rizab minyak dan 60 peratus rizab gas Malaysia, justeru sebarang pengurangan peranan Petronas di negeri itu boleh memberi kesan besar kepada aktiviti huluan dan hiliran kumpulan minyak negara tersebut.

“Dalam suasana ketidaktentuan itu, Petronas meningkatkan kerjasama dengan syarikat tenaga serantau dan global untuk memperluas jejak antarabangsa. 

“Pada Oktober, anak syarikat Petronas, Petronas Carigali International Ventures, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dragon Oil bagi meneroka kerjasama sektor huluan antarabangsa, khususnya di Mesir dan Turkmenistan,” katanya. 

Sebelum ini, Petronas turut memeterai beberapa perjanjian penilaian teknikal dengan gergasi tenaga antarabangsa seperti BP, Eni, INPEX, Pertamina, PTTEP dan TotalEnergies, menunjukkan minat syarikat untuk mengembangkan pelaburan huluan di kawasan frontier Semenanjung Malaysia.

BMI turut menyoroti pelaburan Petronas dalam projek Gladstone LNG di Australia dan LNG Canada. 

“Pelaburan LNG luar negara terbaharu Petronas ialah pegangan 15 peratus dalam kontrak perkongsian pengeluaran Masela di Indonesia, yang merangkumi projek Abadi LNG berkapasiti 9.5 juta tan setahun. 

“Kerajaan Indonesia meluluskan pelan pembangunan projek itu pada Disember 2023, namun keputusan pelaburan akhir masih belum dimuktamadkan.

“Indonesia kekal destinasi menarik bagi syarikat Malaysia kerana jaraknya yang dekat dengan pusat permintaan domestik, sekali gus mengekalkan kos bekalan yang kompetitif,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Petronas keluar daripada projek LNG Argentina bersama YPF, namun awal bulan ini memeterai perjanjian dengan Pembina Pipeline Corporation bagi hak ekuiti 1.0 juta tan setahun kapasiti pencairan di fasiliti Cedar LNG selama 20 tahun, yang dijangka siap pada 2028. 

Projek ini merupakan pelaburan LNG besar kedua Petronas di Kanada selepas LNG Canada, di mana Petronas memegang 25 peratus ekuiti dan telah menghantar kargo LNG pertama pada Julai.

BMI meramalkan pegangan pelaburan Petronas dalam LNG luar negara akan terus meningkat, walaupun kebanyakan volum itu dijual terus ke pasaran dan bukannya dibawa pulang ke Malaysia.

Mengulas lanjut, BMI berkata, strategi pengembangan portfolio LNG global Petronas jelas menunjukkan syarikat mahu memastikan bekalan LNG kepada pelanggan Malaysia tetap kukuh sekiranya akses kepada kompleks Bintulu di Sarawak terjejas.

“Kedudukan Petros sebagai pengagregat gas negeri Sarawak masih samar, manakala peranan Petronas sebagai pengeluar dan pengeksport LNG tunggal negara juga belum dipastikan. 

“Rundingan antara Petros dan Petronas bagi pengagregatan bersama masih belum mencapai keputusan muktamad dan Sarawak bertegas untuk mengurus sendiri sumber gas asli dalam wilayahnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×