Matrix Concepts catat untung bersih RM67.5 juta pada suku kedua

Matrix Concepts catat untung bersih RM67.5 juta pada suku kedua 2026

MOHAMAD Haslah Mohamad Amin (kanan) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan keuntungan bersih yang stabil pada RM67.5 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025, berbanding RM67.4 juta sebelum ini. 

Prestasi berdaya tahan itu dicapai meskipun margin lebih rendah akibat perubahan campuran produk, apabila kumpulan mengiktiraf sumbangan lebih tinggi daripada pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Lembah Klang dan projek Australia yang telah siap.

Masing-masing membawa profil margin berbeza berbanding jualan tanah industri yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya.

Selain itu, jualan hartanah baharu melonjak 19.1 peratus kepada RM406.9 juta bagi tempoh itu berbanding RM341.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Selaras dengan momentum jualan, kumpulan mencatat prestasi kewangan 2026 yang kukuh apabila pendapatan meningkat 23.4 peratus kepada RM396.3 juta daripada RM321 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

Pertumbuhan itu dipacu oleh peluasan sumber pendapatan merentasi portfolio, dengan Levia Residences di Lembah Klang menerajui peningkatan apabila pendapatannya melonjak 521.6 peratus kepada RM45.1 juta berikutan kemajuan pembinaan yang dipercepatkan.

Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mahamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi pada 2026 membuktikan kekuatan strategi pertumbuhan pelbagai hala kumpulan. 

“Kami kini menyaksikan keserasian antara tonggak strategik kami dengan momentum pesat segmen industri MVV City melengkapi ketahanan berterusan perbandaran utama Sendayan serta sumbangan bermakna daripada portfolio antarabangsa dan Lembah Klang.

“Kami berada di titik penting dalam perjalanan Kumpulan ketika kami mengembangkan model perniagaan untuk membuka horizon pertumbuhan baharu. 

“Sejak 2006, Pembangunan Sendayan telah menyediakan asas kepada hampir dua dekad pengembangan mampan. Hari ini, legasi ini sedang berkembang secara strategik melalui MVV City, yang semakin muncul sebagai pemangkin pertumbuhan utama kami seterusnya,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi separuh pertama 2026, kumpulan mencatat pendapatan RM680.6 juta dan keuntungan bersih RM130.6 juta, masing-masing meningkat 13.3 perarus dan 1.9 peratus daripada RM600.8 juta dan RM128.1 juta pada tempoh sama sebelumnya. 

Dalam tempoh yang sama, kumpulan berjaya melancarkan hartanah dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM978.6 juta, menempatkannya pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran pelancaran setahun penuh melebihi RM1.7 bilion.

Sehingga 30 September 2025, jualan belum dibil Matrix Concepts berjumlah RM1.59 bilion, peningkatan 19.9 peratus tahun ke tahun, memberikan kepastian kukuh bagi pengiktirafan pendapatan dalam 15 hingga 18 bulan akan datang.

Mengukuhkan komitmen kepada para pemegang saham, kumpulan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.75 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Mac 2026, dengan tarikh ex-dividen pada 18 Disember 2025 dan pembayaran pada 8 Januari 2026. 

Agihan ini berjumlah RM32.8 juta, bersamaan 48.7 peratus daripada keuntungan bersih selepas cukai kumpulan bagi 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×