PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menerbitkan panduan awal menangani tindakan bunuh diri belia pada akhir tahun ini sebagai rujukan intervensi segera kepada golongan belia, keluarga dan masyarakat.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dokumen itu diwujudkan bagi memudahkan belia terkesan mendapatkan bantuan awal tanpa perlu menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal.
“Panduan ini untuk bantu mereka yang mempunyai kecenderungan mencederakan diri sendiri atau bunuh diri, dan juga penjaga serta majikan yang tidak tahu siapa perlu dihubungi apabila berlaku insiden,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Belia; Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia, di sini hari ini.
Beliau berkata, draf awal panduan tersebut sedang dimuktamadkan selepas menerima pandangan daripada 153 peserta terdiri daripada pakar kesihatan mental, agensi kerajaan, NGO, ahli akademik dan wakil belia.
Katanya, beberapa cadangan penting turut dikemukakan dalam perbincangan meja bulat tersebut termasuk keperluan latihan khusus kepada majikan bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap isu kesihatan mental serta mewujudkan satu jam khusus setiap minggu untuk aktiviti kesejahteraan.
“Ada cadangan HRDF (HRD Corp) mungkin perlu kita perbanyakkan lagi latihan untuk majikan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Satu lagi cadangan ialah mewujudkan hari dan waktu khusus bagi pelajar universiti atau pekerja untuk aktiviti kesejahteraan diri, iaitu satu jam tanpa kerja di mana semua digalakkan bersenam, berjalan atau melakukan aktiviti untuk mengurangkan tekanan,” katanya. – UTUSAN










