SEREMBAN: Golongan belia perlu mengamalkan budaya politik matang dengan tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai punca permusuhan.
Penaung Diraja Dewan Waghih Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz bertitah, suara belia kini memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara susulan pelaksanaan Undi 18 serta peningkatan jumlah pengundi muda.
Menurut baginda, politik tidak seharusnya dilihat sebagai ruang perebutan kuasa semata-mata kerana perbalahan politik yang berlebihan tidak akan membawa negara ke hadapan.
“Sebaliknya, politik yang matang seharusnya menjadi ruang untuk memperkukuhkan pembangunan negara, membantu rakyat dan memastikan kestabilan dapat dipelihara.
“Negara memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat. Negara memerlukan generasi muda yang mampu berbeza pandangan tanpa bermusuhan. Negara memerlukan pemimpin yang mampu berbahas dengan ilmu dan adab,” titahnya.
Tunku Zain Al-’Abidin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan Waghih Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, Dewan Waghih Negeri Sembilan juga perlu menjadi simbol kepada budaya kepemimpinan yang matang, inklusif dan berpaksikan muafakat.
Tambahnya, pembangunan tidak dapat dicapai tanpa kerjasama manakala masyarakat pula tidak akan maju sekiranya terus berpecah-belah.
“Gunakan platform ini untuk belajar mendengar pandangan orang lain, menerima perbezaan, membina kerjasama dan menyelesaikan masalah secara bersama,” titahnya
Dalam pada itu, Tunku Zain Al-’Abidin turut mengingatkan golongan muda supaya bijak menggunakan teknologi dalam era dunia moden yang berkembang pesat ketika ini.
Titahnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital, ekonomi digital dan automasi memberi peluang besar kepada anak muda untuk maju namun turut membawa cabaran termasuk tekanan emosi dan mental.
Sementara itu, Penyelaras Dewan, Muhammad Izzaq Arif Sanizan, 23, berkata, seramai 36 ahli menerima watikah pelantikan bagi sesi kali ini.
Katanya, Dewan Waghih Negeri Sembilan merupakan kesinambungan daripada penubuhan Dewan Waghih Siswa yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 sebelum dijenamakan semula di bawah Yayasan Negeri Sembilan.
“Bagi tahun ini, seramai 36 ahli Dewan dilantik dan setiap seorang akan mewakili 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN








