KDN perlu beri penjelasan status kes berprofil tinggi

KDN perlu beri penjelasan status kes berprofil tinggi

RSN RAYER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberikan penjelasan berhubung beberapa kes berprofil tinggi yang masih belum mempunyai perkembangan jelas termasuk insiden tembakan dan serangan yang semakin menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

RSN Rayer (PH–Jelutong) berkata, meskipun kerajaan meningkatkan peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) daripada RM150 juta kepada RM606 juta, orang ramai mahu melihat penyiasatan yang lebih menyeluruh dan telus.

“Saya menghargai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa menjaga keselamatan rakyat, namun penambahan peruntukan ini perlu diterjemahkan kepada penyelesaian kes. Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat berteka-teki,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Kementerian Dalam Negeri peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Rayer turut mempersoalkan perkembangan siasatan melibatkan kehilangan Pastor Raymond Koh, Amri Che Mat, pasangan Ruth dan Joshua serta kes Datin Sri Pamela Ling yang dilaporkan hilang di pekarangan pejabat SPRM Putrajaya pada 9 April 2025.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya mahu tahu apakah perkembangan akhir kes-kes ini. Adakah PDRM akan menyiasat sehingga tuntas? Apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka?” soalnya.

Rayer yang turut menyentuh insiden seorang individu didakwa dipukul ketika berada dalam tahanan dan turut menegaskan bahawa beliau tidak menuduh sesiapa, tetapi mahu memastikan integriti PDRM tidak terus dipertikai.

Katanya, peningkatan kejadian tembak-menembak dan serangan individu boleh menjejaskan keyakinan terhadap tahap keselamatan negara jika tidak segera ditangani.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti bandar koboi. Kes tembak dan serangan berlaku berulang kali tanpa kesudahan. Ini sudah tentu membimbangkan rakyat,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim serta insiden menimpa wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar semalam.

“Ini negara berdaulat, bukan kawasan tanpa undang-undang. Dengan peruntukan yang besar, rakyat mahu melihat kes-kes ini diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×