SHAH ALAM: Lebih 1,000 mangsa banjir dari sekurang-kurangnya 10 kawasan di Shah Alam, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Kuala Langat dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Antara kawasan terjejas di Shah Alam termasuk Taman Desa Kemuning, Seksyen 35; Kampung Budiman, Seksyen U14; Seksyen 13; Taman Seri Lembayung, Seksyen 25 dan Seksyen 23 ekoran kenaikan paras Sungai Rasau, Sungai Klang, Sungai Bakul dan Sungai Damansara.
Di Klang beberapa kawasan seperti Persiaran Hamzah, pekan Meru, Bukit Kapar dan Jalan Cempaka di Jalan Paip dinaiki air susulan peningkatan paras Sungai Binjai, manakala di Hulu Langat termasuk Kajang turut terjejas akibat limpahan Sungai Langat.
Di utara negeri, Kampung Nelayan di Sungai Besar dan Sekinchan di Sabak Bernam dilaporkan mula dilanda banjir sejak semalam. Beberapa laluan utama seperti Lebuhraya Persekutuan dan
Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) juga terjejas apabila air melimpah di beberapa lokasi termasuk Bukit Jelutong dan Batu Tiga.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri berada pada tahap berjaga-jaga dan terus memantau paras air sungai, empangan dan cuaca.
“Cuaca semalam mendung dan kita pantau dari semasa ke semasa mengikut perkembangan kenaikan air di kawasan terjejas.
“Setakat semalam Sabak Bernam mula terjejas, disusuli Petaling, Klang dan Hulu Langat. Sepang dan Kuala Langat biasanya menerima kesan lebih lewat kerana aliran air datang dari Hulu Langat,” katanya.
Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor melaporkan kenaikan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Kuala Selangor, tiga PPS dibuka iaitu SK Desa Aman, SK Bukit Kerayong dan Pusat Perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Setia Jaya yang menempatkan 336 mangsa daripada 75 keluarga.
Di Sabak Bernam, dua PPS dibuka masing-masing di Dewan Sri Bernam dan Dewan Sri Sekinchan dengan 51 dan 24 mangsa ditempatkan.
Di Klang, PPS Dewan Bakawali Seksyen 35 dan SK Sungai Binjai menerima 125 mangsa daripada 34 keluarga dan 79 mangsa daripada 21 keluarga.
Manakala di Shah Alam, dua PPS iaitu Masjid Al Falah Kampung Budiman dan SK Shah Alam Seksyen 16 menempatkan 69 dan 59 mangsa.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati paras sungai di Selangor mendapati lapan sungai melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Bakul, Sungai Damansara, Sungai Rasau dan Sungai Klang di Shah Alam; Sungai Binjai di Meru; Sungai Bernam di Sabak Bernam serta Sungai Langat melibatkan kawasan Bukit Chandan dan Kuala Langat. – UTUSAN










