KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan 89 peratus setakat Oktober lalu, sekali gus merekodkan tanda aras yang membanggakan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Sasaran untuk mencapai 90 peratus kemajuan menjelang hujung tahun ini semakin hampir dengan hasil usaha bersepadu dan komitmen tinggi pasukan MRL bersama rakan pelaksana projek.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, persiapan kini beralih ke fasa ujian dan pentauliahan yang bakal bermula pada pertengahan 2026, projek ini dijangka dapat memulakan operasi dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang Januari 2027.
Katanya, jajaran fasa dua ECRL antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka beroperasi pada Januari 2028, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pengangkutan negara.
“Pada masa sama, pembinaan jajaran ECRL di negeri Terengganu yang meliputi jarak sepanjang 242 kilometer dan merangkumi enam stesen telah mencatat kemajuan pembinaan sebanyak 94.82 peratus setakat Oktober, mencatatkan peratusan kemajuan tertinggi berbanding tiga negeri lain iaitu Kelantan, Pahang dan Selangor.
“la adalah satu pencapaian yang jelas menunjukkan kecekapan dan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan kerja di negeri ini,” katanya dalam ucapan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri Terengganu dan MRL di sini semalam.
Kerajaan negeri Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan MRL diwakili oleh Darwis yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
ECRL merupakan projek infrastruktur mega yang menghubungkan taman-taman perindustrian, pelabuhan-pelabuhan, bandar-bandar utama dan zon pelancongan serta menambah baik kesalinghubungan dengan rangkaian rel sedia ada di Semenanjung Malaysia.
Darwis berkata, kerjasama ini bukan sahaja menandakan permulaan usaha rasmi untuk memudah cara pelaksanaan konsep TOD di stesen-stesen ECRL di Terengganu, tetapi membuktikan kedua-dua pihak mampu mecapai tahap persefahaman yang kukuh dalam masa singkat.
Jelas beliau, pembangunan TOD di stesen-stesen ECRL berpotensi meningkatkan nilai hartanah serta merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan sekitarnya.
“Inisiatif ini turut berupaya menarik, pelaburan swasta dalam sektor komersial dan perumahan, menjana peluang pekerjaan, serta merangsang aktiviti ekonomi baharu.
“Selain itu, TOD menyokong pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan mudah diakses, sejajar dengan aspirasi membentuk komuniti yang bersepadu,” katanya.
Projek ECRL merupakan antara projek infrastruktur nasional berimpak tinggi yang telah giat dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan sejak 2017.
Dengan skala pembinaan rel sepanjang 665 kilometer merentasi tiga negeri di Pantai Timur dan negeri Selangor, projek ECRL menjadi simbol komitmen tingai kerajaan dalam memperkukuh jaringan pengangkutan strategik negara menerusi kerjasama erat antara Malaysia dan China. – UTUSAN










