KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan sistem pengesahan umur sebagai langkah melindungi kanak-kanak daripada mengakses laman pornografi susulan kadar penembusan internet negara yang mencecah 97.7 peratus.
Bakhtiar Wan Chik (PH–Balik Pulau) berkata, kerajaan perlu memandang serius isu tersebut dan mencontohi pendekatan negara lain seperti United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan Australia memandangkan Malaysia kini berada pada kedudukan tertinggi di rantau ini dari segi akses kepada laman pornografi.
Katanya, pendedahan awal terhadap bahan pornografi membawa pelbagai kesan buruk termasuk ketagihan seksual digital, keretakan institusi keluarga, gangguan perkembangan sosial remaja serta normalisasi kandungan ekstrem.
“Banyak negara sudah mengambil langkah tegas untuk menangani isu ini. UK melalui Age Verification for Pornography Law di bawah Online Safety Act 2023 mewajibkan semakan umur sebelum seseorang boleh mengakses kandungan dewasa.
“Perancis dan Jerman pula mewajibkan platform pornografi menggunakan teknologi identiti digital yang melindungi privasi tetapi menghalang akses bawah umur, manakala Australia sedang menguji sistem ‘age assurance technology’ tanpa menggunakan data biometrik sensitif.
“Adakah Kementerian Digital bersedia mempertimbangkan rangka kerja pengesahan umur versi Malaysia yang tidak mengumpulkan data sensitif tetapi tetap berkesan?” soalnya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, hari ini.
Bakhtiar berkata, terdapat kebimbangan mengenai kadar penggunaan internet harian rakyat Malaysia yang berada pada paras tinggi iaitu purata lapan jam 13 minit sehari berbanding purata global enam jam 40 minit.
“Bagi penggunaan internet melalui telefon bimbit pula, rakyat Malaysia menghabiskan purata empat jam 42 minit sehari berbanding purata global tiga jam 46 minit,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya literasi digital diwajibkan di sekolah serta platform diwajibkan menurunkan kandungan ekstrem dalam tempoh 24 jam bagi memastikan keselamatan pengguna terutama golongan muda. – UTUSAN










