KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan sebanyak 87 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah negeri Kedah sejak 2016 hingga November 2025, melibatkan kos RM671.81 juta.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, daripada jumlah itu, 50 projek telah siap, manakala 16 projek sedang dalam pembinaan dan 21 lagi dalam peringkat prabina.
“Bagi kesinambungan pelaksanaan, kerajaan melalui Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (2026) turut meluluskan 12 projek baharu bernilai RM175.50 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik) berkenaan jumlah sekolah daif di negeri Kedah yang masih belum dibaik pulih di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, data sekolah daif adalah dinamik dan berubah mengikut keadaan semasa.
Setakat ini katanya, sehingga 30 September 2025, sebanyak 60 sekolah di Kedah masih berada dalam kategori Skala 7, iaitu sekolah yang mempunyai bangunan daif.
“Daripada jumlah itu, 37 sekolah telah diluluskan projek pembinaan semula dan kini dalam pelaksanaan, manakala satu sekolah sedang melalui proses pengambilalihan tanah. Selain itu, 12 sekolah dimasukkan dalam RP1 RMK13.
“Baki 10 sekolah yang masih belum diluluskan akan dikemukakan dalam Rolling Plan seterusnya, menurut Kementerian Pendidikan,” katanya. – UTUSAN










