Buli: Ibu bapa juga perlu dihukum

Buli: Ibu bapa juga perlu dihukum

IBU bapa perlu memastikan anak-anak membesar dalam suasana kasih sayang, hormat dan tanggungjawab. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini, isu disiplin, buli dan salah laku pelajar di sekolah semakin mendapat perhatian masyarakat.

Setiap kali insiden tular berlaku, pihak sekolah sering menjadi sasaran kritikan. Guru dipersalahkan, sistem pendidikan dikritik dan sekolah dianggap gagal mendidik. Namun persoalannya, adakah tanggungjawab membentuk sahsiah pelajar terletak sepenuhnya di bahu sekolah?

Hakikatnya, masalah disiplin pelajar tidak bermula di bilik darjah. Ia berakar daripada perubahan gaya hidup keluarga dan masyarakat. Hari ini, ramai ibu bapa bekerja sepenuh masa untuk menampung keperluan hidup manakala anak-anak dihantar ke pusat jagaan sejak kecil.

Kekurangan belaian, perhatian dan bimbingan moral di rumah menyebabkan anak-anak mencari perhatian di luar, terdedah kepada pengaruh rakan sebaya dan media sosial tanpa kawalan.

Akibatnya, muncul pelajar yang memberontak, kasar dan kurang hormat kepada guru.

Lebih membimbangkan, sesetengah ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan moral kepada sekolah.

Ada juga yang secara tidak langsung memberi teladan negatif melalui pertengkaran, bahasa kesat atau sikap melanggar undang-undang.

Anak-anak belajar melalui pemerhatian, dan tingkah laku di rumah sering diterjemahkan ke dalam persekitaran sekolah. Apabila berlaku insiden, guru dan pengetua menjadi sasaran kemarahan masyarakat, walhal banyak masalah berpunca daripada suasana keluarga yang longgar dan pengabaian tanggungjawab keibubapaan.

Oleh itu, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempertimbangkan dasar atau undang-undang yang memperkukuh tanggungjawab ibu bapa terhadap kelakuan anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Ibu bapa boleh dipanggil memberi penjelasan dan dikenakan tanggungjawab undang-undang sekiranya terbukti cuai dalam pengawasan apabila pelajar melakukan kesalahan berat atau terlibat dalam jenayah.

Cadangan ini bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik dan menanam kesedaran bahawa pembentukan akhlak dan disiplin anak-anak adalah tanggungjawab bersama ibu bapa, guru dan masyarakat. Rumah adalah sekolah pertama dan ibu bapa ialah guru pertama. Sekolah boleh mendidik tetapi keluarga yang membentuk peribadi.

Jika kita benar-benar mahu melahirkan generasi muda berakhlak, berdisiplin dan menghormati orang lain, perubahan mesti bermula dari rumah.

Kita perlu berganding bahu memastikan anak-anak membesar dalam suasana kasih sayang, hormat dan tanggungjawab.

Hanya dengan itu, kita mampu membina bangsa bermaruah dan negara sejahtera.-UTUSAN

WAN QUORIS SHAH WAN ABDUL GHANI
Perunding strategik, aktivis sosial dan penulis bebas Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×