KUALA LUMPUR: Prinsip asas Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) tetap dikekalkan melalui penambahbaikan dasar percukaian sedia ada termasuk semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu walaupun cukai tersebut tidak diteruskan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, melalui pendekatan baharu itu, barangan mewah dan barangan pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar lima atau 10 peratus selaras dengan matlamat asal HVGT untuk memastikan golongan berkemampuan menyumbang secara adil kepada hasil negara.
“Cukai ini meliputi barangan yang sebelum ini disenaraikan di bawah HVGT seperti pakaian termasuk pakaian premium, jam tangan serta barangan pilihan lain yang lazimnya dikaitkan dengan golongan berpendapatan tinggi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN-Dungun) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan mekanisme baharu yang lebih menyeluruh untuk memastikan cukai terhadap golongan kaya dan pemilik barangan mewah dapat dipungut secara berkesan selepas HVGT dibatalkan.
Menurut beliau, kadar cukai jualan yang ditetapkan itu dianggap sesuai buat masa ini bagi mengenakan cukai kepada golongan berkemampuan yang membeli barangan bukan asas.
“Pendekatan mengenakan cukai ke atas barangan bukan asas memastikan proses penentuan barangan bercukai lebih telus, konsisten dan tidak bergantung kepada takrifan khusus mengenai apa yang dikategorikan sebagai barangan mewah.
“Ia juga lebih menyeluruh kerana mengambil kira kesan kepada industri dan pengguna serta memastikan pelaksanaannya berjalan lebih lancar di bawah sistem percukaian sedia ada,” katanya.
Hui Ying berkata, langkah ini juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa membebankan rakyat, selain memastikan setiap keputusan melibatkan libat urus dengan pihak berkepentingan serta pelaksanaan yang berhati-hati.
“Kerajaan akan terus menilai keberkesanan pendekatan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan struktur percukaian kekal progresif, mampan dan menepati keperluan fiskal negara,” katanya. – UTUSAN










