PARLIMEN: Hanya APS berlesen boleh rekrut pembantu rumah

PARLIMEN: Hanya APS berlesen boleh rekrut pembantu rumah

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen dibenarkan menjalankan proses merekrut pembantu rumah di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, tindakan tegas menanti mana-mana individu atau agensi yang menjalankan aktiviti pengambilan pembantu rumah tanpa lesen.

“Apabila individu atau agensi beroperasi tanpa lesen, mereka boleh didenda sehingga RM200,000, dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai tindakan tegas Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penipuan, melindungi mangsa dan memastikan hanya agensi berlesen beroperasi.

Abdul Rahman berkata, bagi memastikan laporan dibuat secara teratur dan mengurangkan ruang manipulasi, KESUMA menggalakkan mangsa membuat aduan secara berkumpulan melalui sistem Single ID.

Katanya, kerjasama rentas agensi amat penting memandangkan pelbagai skim penipuan semakin banyak berlaku dalam talian dan bukan hanya membabitkan skim pembantu rumah.

“Platform ini membolehkan hanya majikan sebenar mendaftar, log masuk dan menghantar permohonan. Ia juga menghalang penglibatan pihak ketiga dan memastikan semua transaksi direkodkan dalam sistem Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Kami amat sedar mengenai kebimbangan ini. Dalam isu pembantu rumah, sistem Single ID memainkan peranan penting menghalang maklumat palsu disebarkan pihak ketiga. Pada masa sama, agensi dan kementerian lain perlu membantu memastikan semua transaksi direkodkan bagi mengelakkan manipulasi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kemungkinan pembantu rumah menjadi perantara sindiket penipuan, beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada ancaman itu.

“Kami menjalankan kerjasama rentas agensi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan Jabatan Imigresen termasuk operasi bersepadu untuk mengesan pembabitan pembantu rumah dalam urusan kewangan atau transaksi digital merentas negara.

“KESUMA akan terus memperketat pemantauan terhadap agensi, melaksanakan penguatkuasaan berterusan serta meningkatkan kempen kesedaran bagi mencegah eksploitasi pembantu rumah dan memastikan hanya APS berlesen yang dibenarkan beroperasi di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×