KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus pada tahun 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024, menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIES).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penurunan itu dipacu pelaksanaan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada mobiliti sosial serta kesejahteraan isi rumah.
Katanya, antara program utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Asas Rahmah yang dimulakan sejak 2023.
“Kerajaan juga komited untuk menoktahkan miskin tegar dengan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion bagi tahun 2026.
“Ini merupakan belanjawan kerajaan yang tertinggi dalam sejarah bagi memastikan bantuan kepada golongan miskin tegar dapat disalurkan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN–Permatang Pauh) yang memintanya menyatakan bagaimana perkembangan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Mengulas lanjut, Hanifah berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan merangkumi isi rumah miskin tegar bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban sara hidup.
Menurutnya, kerajaan juga berjaya menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan seterusnya sehingga RM1,700 sebagai langkah meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah. – UTUSAN










