Industri EV negara memasuki fasa dipacu pasaran

Industri EV negara memasuki fasa dipacu pasaran

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini menunjukkan perkembangan pesat dan memasuki fasa dipacu pasaran, sekali gus membolehkan harga menjadi lebih kompetitif tanpa bergantung sepenuhnya kepada insentif kerajaan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jualan EV melonjak sehingga 30 peratus pada Oktober lepas susulan penangguhan cukai jalan dan pengecualian cukai jualan sebelum ini. 

Katanya, jumlah EV berdaftar di negara ini mencecah 26,928 unit sehingga September 2025, melebihi keseluruhan tahun sebelumnya dan dijangka melebihi 35,000 unit menjelang akhir tahun.

“Industri EV kini memasuki tahap pasaran yang lebih matang iaitu persaingan sudah cukup sihat untuk menentukan harga tanpa subsidi bersasar. 

“Apabila ekosistem hampir lengkap dan stabil, peralihan daripada insentif kepada pasaran adalah wajar supaya industri boleh berdaya saing secara sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, industri EV tidak perlu untuk mengikut langkah subsidi bersasar seperti kenderaan diesel dan petrol yang membebankan kewangan kerajaan. 

“Apa yang penting adalah pembinaan infrastruktur sokongan yang bukan sahaja mencukupi malah boleh dibeli pada kadar yang murah dan mungkin lebih murah dari bahan api fosil,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, persaingan sengit dalam pasaran EV memberi manfaat kepada pengguna melalui pelbagai pilihan jenama dan reka bentuk menarik, khususnya daripada pengeluar China. 

Tambahnya, jenama kenderaan nasional juga akan memperkenalkan model EV dengan harga yang lebih kompetitif. 

“Oleh itu, masa untuk mengurangkan insentif ini adalah sesuai disebabkan pasaran EV yang mula diterima ramai dan persaingan dalam industri itu sendiri akan menyebabkan harga yang ditawarkan akan menjadi lebih kompetitif tanpa perlu campur tangan yang lebih dari pihak kerajaan. 

“Apa yang perlu diberi perhatian adalah dari segi infrastruktur seperti tempat untuk mengecas serta harga untuk mengecas yang perlu dikawal selia. 

“Apa yang mahu dicapai adalah penggunaan EV ini akan menjadi lebih mudah dan berdaya saing. Isu seperti kerisauan jarak atau ‘range anxiety’ perlu dikurangkan atau dihapuskan sepenuhnya dan ini memerlukan pelaburan dalam infrastruktur dalam pasaran EV,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Malaysia sentiasa mengamalkan dasar ekonomi bebas dan kerajaan tidak mahu sentiasa campur tangan dalam mana-mana industri. 

“Risikonya adalah industri EV mungkin akan terkesan lebih-lebih lagi dengan ada rasionalisasi petrol RON95 iaitu BUDI95. 

“Namun, pasaran EV yang agresif akan mampu membawa momentum ke aras yang lebih tinggi walaupun berlakunya pengurangan insentif daripada kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, pengenalan cukai jalan kepada EV dan pendapatan insentif cukai tahun depan akan menyebabkan kos pemilikan EV akan meningkat, sekali gus menyebabkan berlakunya penurunan daripada permintaan.

“Pada masa ini, akan berlaku perang harga antara pengeluar EV yang menyebabkan harga EV kompetitif berbanding kereta biasa. 

“Oleh itu, walaupun berlaku peningkatan kos, ia tidak akan menjadikan kos kereta EV itu terlalu tinggi berbanding kereta biasa kerana harga sedia ada pun sudah rendah,” jelansya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×