KUALA LUMPUR: Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KSR Arena Series 2025 tampil berbeza dengan penglibatan buat julung kalinya pengamal media dalam acara futsal dan bola jaring.
Kejohanan yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam semalam dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad, mewakili Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.
Azam berkata, hubungan antara SPRM dengan media bukan sekadar dalam konteks urusan rasmi sahaja namun ia juga diteruskan dalam aktiviti atau program riadah seperti KSR Arena Series.
“Ini adalah kali pertama media dijemput khususnya dari Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) untuk menyertai acara anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) SPRM, ” katanya dalam teks ucapan dibacakan oleh Norhaizam, semalam.
Sementara itu, Presiden KSR SPRM, Mohd Fadzil Md Amin menyifatkan penyertaan media lambang hubungan baharu antara dua pihak khususnya KSR.
“KSR sentiasa membuka peluang untuk media terlibat dalam mana-mana aktiviti pada masa akan datang,” katanya dengan menyaksikan penyertaan 40 pasukan.
Dalam kejohanan futsal, pasukan Selangor A muncul juara, naib johan (Siasatan B), ketiga (Siasatan A) dan keempat, Johor DT.
Bagi acara bola jaring pula dimenangi oleh pasukan Bee-One-Derful, naib johan (R1TBallerz), ketiga (Spy F1), keempat (Golden Force)
Johan menerima hadiah hadiah wang tunai RM3,000; naib johan (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM800). Hadiah-hadiah disampaikan oleh Mohd Fadzil. – UTUSAN







