NAMA Wazi Abdul Hamid bukanlah asing dalam dunia sukan pemotoran negara. Beliau pernah menerima gelaran ‘Raja Kapcai’ dan menggegarkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Namun siapa sangka, di sebalik perjalanannya itu tersimpan seribu satu kisah. Pada usia 55 tahun, beliau yang dahulunya berkecimpung dalam dunia dua roda kini bergelar doktor falsafah.
Mengimbau permulaan beliau dalam sukan CubPrix, walaupun ketika itu berusia 18 tahun, pelbagai kejayaan dicipta sama ada dalam mahupun luar negara.
Wazi yang dibesarkan di Ipoh, Perak berkata, beliau sukakan aktiviti penuh cabaran. Pada usia remaja, beliau belajar di Kota Bharu selama lima tahun sebelum kembali ke kampung halaman.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wazi mula bekerja dan membeli sebuah motosikal untuk memudahkan urusan harian.
“Dari situ, saya didedahkan dengan motosikal. Saya bermula dalam dunia pemotoran sekitar 1989. Saya menjadi sebagai pelumba profesional pada 1992. Awal 1989 itu saya mula berjinak-jinak menjadi sebagai kru perlumbaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau hanya sekadar ingin mencuba.
“Perlumbaan ini membuatkan kita perlu bersaing dengan orang lain. Sesiapa yang menyertai perlumbaan dikira hebat.
“Pertama, dia berani. Yang kedua, dia boleh berjuang. Ramai orang berani tetapi tak ramai yang mampu mempertaruhkan diri dan mengambil risiko.
“Yang ketiga, untuk menjadi seorang ‘wira’. Ketika itu, saya hanya fikir untuk buktikan kepada kawan-kawan motosikal sahaja, tidak terfikir untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.
Apabila menyertai pertandingan, beliau hanya sekadar suka-suka dan daripada situ, Wazi mula menyedari kemampuannya.
“Saya masih belum tahu kemampuan dan had saya setakat mana. Atas rasa suka-suka sahaja.
“Jadi, saya masuk pertandingan dan saya boleh menang. Saya dapat tempat ketiga dan itu menjadi penyuntik semangat buat saya,” katanya.
Katanya pada perlumbaan pertama, beliau berpendapat kemenangan itu hanyalah sekadar nasib.
Pada tahun berikutnya, beliau terlibat dengan beberapa perlumbaan dan dinobatkan sebagai juara walaupun sebagai pelumba persendirian.
“Cabaran peringkat awal, waktu itu saya masih nak dapatkan jati diri. Kita masih belum tahu peringkat awal.
“Selain itu, saya juga perlu fokus. Kadangkala saya masih lagi terumbang-ambing. Malah, saya belum tahu bagaimana prestasi serta masa depan sebagai seorang pelumba.
“Yang ketiga nya cabaran pada masa itu dari segi kewangan. Sukan yang melibatkan motosikal ini adalah satu pelaburan. Saya di saat itu tidak ada modal yang besar,” jelasnya.
Katanya, perlumbaan ketika itu masih kurang membuatkan beliau menjadi sukar untuk mengasah bakat dan kemahiran dirinya.
Beliau juga yang diberi gelaran ‘Raja Kapcai’ pada zaman kegemilangannya, tidak menyangka akan menerima gelaran sebegitu dan bukan juga impiannya.
“Impian saya pada saat itu, saya bercita-cita ingin pergi ke peringkat dunia. Namun cabaran yang perlu saya tempuhi sangat berbeza dengan sekarang.
“Ketika itu, masih lagi banyak hutan rimba. Apabila bertanding di hutan rimba, sudah pasti akan lebih banyak cabaran. Saya nak buka halangan dan pendedahan itu sangat berbeza.
“Cuma saya dah dapat gelaran itu penghujung 1996 walaupun ramai lagi para pelumba yang hebat,” katanya.
Pada 1997, beliau ditawarkan untuk menyertai pasukan antarabangsa namun atas faktor kemelesetan ekonomi pada tahun itu membuatkan hasratnya terbatas.
“Cita-cita saya masa itu dah habis, ditambah pula dengan tahap usia yang semakin meningkat membuatkan peluang saya untuk pergi lebih jauh semakin tipis.
“Saya tidak mempunyai peluang untuk terus ke atas dan kembali bermain untuk peringkat negara dan sekitar Asia sehinggalah tahun 2007. Cuma itulah permulaan bagaimana tertutupnya impian saya untuk ke peringkat yang lebih jauh,” ujarnya.
Bercerita tentang pengalaman pahit dan manis, beliau menjelaskan pernah bertemu dengan legenda pemotoran dunia, Kenny Roberts pada 1987.
“Sepanjang karier pasti ada suka dan duka. Saya ingat lagi apabila saya dipilih untuk bersama dengan pasukan luar negara. Kalau cakap tentang sukan motor peringkat dunia, pasti semua orang akan mengenali dia.
“Kenny Roberts, dia memang seorang ‘king’ dalam sukan pemotoran. Tak ada orang boleh lawan. Dia berasal dari Amerika Syarikat dan saya dapat peluang bertemu,” ujarnya.
Wazi juga pernah ditimpa satu kemalangan parah sehingga membuatkan kakinya terkeluar daripada tulang (dislocate) dan juga patah.
“Masa itu sampaikan ada desas-desus mengatakan seorang pelumba kehilangan nyawa.
“Jadi itu antara kecederaan yang teruk saya pernah hadapi. Alhamdulillah saya dapat kembali pulih dan kembali bersaing seperti biasa,” katanya.
Beliau juga berpendapat terdapat perbezaan ketara dalam dunia pemotoran masa kini dari segi infrastruktur, semangat pelumba dan pendedahan tentang sukan berkenaan.
“Daripada segi infrastruktur atau persediaan, sekarang ia lebih mencabar dari sudut tahap persaingan. Zaman dahulu barang-barang alat ganti agak sukar untuk didapatkan.
“Kedua, sekarang pula kita ada latihan-latihan lebih tersusun, sama ada dalam akademi dan sebagainya. Kita juga ada Litar Antarabangsa Petronas Sepang untuk dijadikan trek latihan.
“Yang ketiganya, semangat dan cabaran pelumba muda telah sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Sekarang ini banyak peluang untuk bermain sehingga ke Eropah beberapa kali. Sudah ramai wakil negara yang menyertai,” katanya.
Beliau menamatkan kariernya pada 2007 ketika berusia 37 tahun selepas mengambil kira percaturan masa depan..
“Saya berhenti kerana memikirkan hala tuju saya. Permulaan kekecewaan adalah waktu saya terlepas peluang keemasan untuk ke luar negara.
“Maksudnya sampai sini sahaja had yang saya boleh pergi. Saya dah tak boleh pergi lagi jauh. Masa itu semangat saya sudah menguncup perlahan. Kemudian saya kembali ke kategori dalam negara, dan saya masih mampu menang.
“Kemuncak karier saya pun masih lagi seorang juara lagi. Di antara tahun 2006 dan 2007. Saya masih lagi memenangi beberapa siri perlumbaan,” ujarnya.
Katanya, apabila beralihnya perubahan spesifikasi jentera daripada 2 lejang kepada 4 lejang membuatkan dia ingin berhenti berlumba.
Selepas menamatkan hidup sebagai seorang pelumba professional, beliau bergiat aktif dalam latihan dan ceramah pemanduan selamat.
“Sebelum saya bersara pun, sekitar tahun 1995, saya sebenarnya sudah mula dijemput ke pelbagai program. Bukanlah sebagai ikon, tetapi masa itu nama saya ada sedikit kedudukan dalam sukan.
“Jadi saya diberi ruang untuk pergi ke sekolah-sekolah, ke bahagian sukan, berkongsi pengalaman dan mengendalikan sedikit kursus asas menunggang. Cuma ketika itu saya belum fokus sepenuhnya, lebih kepada sebagai jemputan,” ujarnya.
Tambahnya, selepas hampir 10 tahun dalam bidang itu, saya mula membina asas lebih kukuh dari segi latihan, kemahiran dan ilmu.
“Di situlah saya mula dipanggil oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk berkongsi pengetahuan dengan lebih formal.
Beliau pernah dijemput oleh Datuk Prof. Dr. Radin Umar Sohadi, pakar keselamatan jalan raya di Malaysia yang juga seorang ahli akademik, pernah menjadi Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sangat berpengaruh dalam pembangunan dasar keselamatan jalan raya negara.
“Prof. Radin yang mengajak saya bekerjasama, duduk semeja memikirkan pembaharuan dan memperkenalkan program dan silibus keselamatan jalan raya.
“Dari situlah saya mula terjebak secara lebih serius dalam bidang ini, bermula sekitar 2007,” katanya.
Bercerita pula tentang cabaran baginya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, beliau berkata, agak sukar untuk mencari penilai kebolehannya dalam bidang permotoran kerana pengalamannya yang hampir tiga dekad.
“Ada universiti tak tahu siapa yang layak untuk nilaikan saya. Sedangkan ramai tenaga pengajar dalam industri pun belajar daripada saya. Jadi bila mereka nak nilai saya, timbul konflik.
“Orang luar negara mungkin dah lama iktiraf pengalaman saya. Tetapi di sini, halangannya agak banyak.
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berjumpa seorang kenalan lama yang mengajaknya menyambung pengajian yang lebih tinggi melalui program APEL.
“APEL ini adalah Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu, iaitu laluan berdasarkan pengalaman untuk diiktiraf sebagai pelajar akademik. Dari situ saya dipertemukan dengan City University Malaysia,” katanya.
Kemudian beliau ditempatkan di bawah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).
“Saya terima sahaja kerana saya hendak uji kemampuan diri. Dalam akademik, saya ingin melihat sejauh mana had saya.
“Program sebegini kebiasaannya mengambil masa tiga hingga lapan tahun. Tetapi kerana saya sudah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, saya berjaya siapkan semua tugasan dalam dua tahun sahaja,” jelasnya.
Beliau memulakan pengajian sekitar 2024 dan menyiapkannya sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Sepanjang proses tersebut, beliau turut menyelesaikan semua Hasil Pembelajaran Program (PLO) lebih awal daripada jadual.
Walaupun pada awalnya hanya diminta menyiapkan beberapa keperluan utama dalam tempoh tiga bulan, beliau berjaya menamatkan keseluruhan komponen akademik dalam masa yang jauh lebih singkat.
Menurutnya, masalah besar masa kini adalah masyarakat mudah melabel semua penunggang motosikal sebagai ‘mat rempit’.
“Sekarang semua orang yang naik motosikal pun dicop begitu. Salahnya bukan pada motosikal, tetapi pada kelakuan di jalan raya.
“Ada orang bawa motosikal mahal tapi perangai lebih teruk daripada budak kampung yang naik Lagenda. Ada yang langgar undang-undang, lawan arus, tak pakai topi. Itu semua salah laku, bukan identiti pelumba.
Beliau menasihatkan anak muda supaya mengamalkan sikap saling menghormati yang datangnya daripada usaha dan ilmu.
“Ramai anak muda fikir kejayaan hanya datang daripada duit, populariti atau trend.
“Itu salah. Sebab itu saya masuk ke dunia pendidikan, untuk membetulkan fahaman ini,” ujarnya. – UTUSAN










