Graduan bangkit selepas kehilangan ayah

Graduan bangkit selepas kehilangan ayah

SYED Zuliqbal Syed Abd Halim selepas menerima Anugerah Tun Abdul Razak dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL, pada Majlis Konvokesyen ke-53 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menempuh detik sukar dalam perjalanannya mendapatkan segulung Ijazah selepas kematian ayahnya dan diikuti ibunya yang jatuh sakit.

Penerima Anugerah Tun Abdul Razak, Syed Zuliqbal Syed Abd Halim berkata, dia menghadapi masalah pembelajaran ketika di bangku sekolah.

Menurutnya, dia membantu keluarga untuk menjaga arwah ayahnya sejak darjah tiga sehingga tingkatan satu, lalu menyebabkan dirinya terlepas waktu persekolahan hingga menyebabkan pembelajarannya merosot pada ketika itu.

“Kebiasaannya orang kenal anak bongsu sebagai anak manja tetapi sejak saya kecil ayah saya sudah sakit dan kemudiannya meninggal semasa saya tingkatan satu, saya sudah mula terpaksa belajar untuk berdikari.

“Malah, ketika saya tingkatan tiga, ibu pula jatuh sakit dan saya tidak hadir ke sekolah selama dua hingga tiga bulan, itu menyebabkan saya tidak boleh mengikuti pembelajaran dengan baik dan rasa seperti sudah terputus harapan.

“Tetapi selepas ibu sihat semasa saya tingkatan empat, saya dapat semangat semula untuk belajar semula bersama rakan-rakan dan pada akhirnya saya berjaya mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik iaitu 7A 2B+,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini.

Pada Majlis Konvokesyen ke-53 UKM, seramai 13,904 graduan diraikan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing bermula 22 November hingga Isnin ini.

Pengisytiharan pembukaan konvokesyen itu disempurnakan oleh Canselor UKM merangkap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Syed Zuliqbal berkata, dia pada awalnya mahu mengikuti jejak abang dan kakaknya yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sebagai doktor.

Bagaimanapun, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL itu berkata, ibunya menasihati dia untuk mengikuti jejak arwah ayahnya yang dahulu merupakan seorang guru Bahasa Inggeris.

Tambahnya, beliau kini sedang bekerja di bawah program pekerjaan sementara (MySTEP) sebagai pegawai media di Pejabat Perdana Menteri.

“Saya bekerja ini sementara tunggu penempatan untuk saya menjadi seorang guru, insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×