KUALA LUMPUR: Tindakan mengenakan caj kenderaan bagi akses ke Genting Highlands didakwa sebagai langkah monopoli sektor pelancongan di pusat peranginan itu.
Pengarah GM Aero Support Sdn. Bhd., Khoh Siew Kim berkata, ia tidak ubah seperti ingin memastikan hanya satu pihak menguasai keseluruhan ekosistem pelancongan serta menghalang sebarang pembangunan baharu oleh entiti lain.
“Ini semua untuk mematikan persaingan. Mereka tidak mahu ada hotel atau perniagaan lain di Genting Highlands,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, cadangan mengenakan caj kenderaan bagi akses ke Genting Highlands tidak sepatutnya mendapat sokongan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kerana langkah itu dikhuatiri menjejaskan imej pelancongan negara.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, langkah itu dilihat memberi beban tambahan kepada pengunjung, khususnya pelancong domestik yang menjadikan pusat peranginan tersebut sebagai destinasi utama keluarga.
King Sing dilaporkan menyokong cadangan itu dan menyatakan ia tidak dapat dielak bagi memastikan penyelenggaraan jalan di kawasan berkenaan dapat dilakukan secara berterusan.
Dalam pada itu, Siew Kim menyifatkan alasan menampung kos penyelenggaraan sebagai tidak munasabah memandangkan syarikat terlibat meraih keuntungan sangat tinggi setiap tahun.
Katanya, isu sebenar yang perlu diperjelas adalah apakah status undang-undang Jalan Utama Genting yang membolehkan caj kepada orang awam dikenakan.
Beliau meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan sama ada Jalan Utama Genting dikategorikan sebagai jalan awam atau persendirian.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menyatakan sebab jalan berkenaan tidak diambil alih sebagai Jalan Persekutuan atau laluan seliaan agensi itu,” katanya. – UTUSAN







